Elak kempen kutuk sana sini, tumpu usaha menangi hati rakyat – Johari

Elak kempen kutuk sana sini, tumpu usaha menangi hati rakyat – Johari

am@hmetro.com.my

Johor Bharu: Calon dan jentera parti khususnya Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak terbabit dalam sebarang kempen provokasi, sebaliknya menumpukan kepada gerak kerja menyantuni hati rakyat dan pengundi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, BN perlu menjuarai cara kempen berhemah, dengan meyakinkan rakyat di setiap kawasan ditandingi untuk memilih pemimpin yang boleh memberi khidmat kepada mereka.

“Bukan kita nak mengatur orang sana sini, kerana kita (parti politik) yang nak jual (calon) ini adalah khidmat kita kepada masyarakat.

“Jadi yang penting, kita bertanding untuk memenangi hati rakyat, bukan nak ‘condemn’ sana, ‘condemn’ sini. Sebab ini adalah budaya politik baru yang kita nak bawa dalam negara,” katanya.

Beliau ditemui media selepas hadir mengiringi calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Datuk Abdul Halim Suleiman di Dewan Serbaguna Taman Pelangi Indah di sini, hari ini.

DUN Tiram pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini menyaksikan saingan empat penjuru antara Abdul Halim mewakili BN serta calon Pakatan Harapan (PH), Nor Zulaila Abd Ghani.

Dua pencabar lain mereka, Khirul Muntanazar Ismail daripada Perikatan Nasional (PN), sementara BERSAMA yang membuat kemunculan pertama dalam saingan di DUN ini diwakili Dr Harith Fakhrudin Abdul Malek.

Mengulas lanjut, Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, secara keseluruhannya, beliau yakin kempen PRN di Johor kali ini akan berjalan dengan lancar dan tenang.

“Saya dapat maklumat tadi, daripada banyak kawasan-kawasan yang ada mengadakan penamaan (calon) ini, tidak ada kekecohan. Masing-masing sudah sampai ke satu (tahap) kematangan di mana semua orang, semua parti perlu menjaga keamanan negara.

“Jadi ini adalah satu proses yang akan memberi kebaikan kepada negara dan kita menunjuk kepada negara luar bahawa Malaysia ini, walaupun apa saja yang kita berdepan dalam soal-soal politik, tetapi dia tidak menggugat kestabilan negara,” katanya.

PRN Johor kali ini menyaksikan penampilan gabungan calon muka baharu, penyandang, selain kemunculan semula bekas wakil rakyat yang dipertaruhkan oleh parti masing-masing bagi merebut 56 kerusi DUN.

PH meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN yang melibatkan agihan 20 calon daripada PKR, Amanah (19) dan DAP (17). BN) turut bertanding di kesemua kerusi dengan menampilkan 36 calon UMNO, MCA (16) serta MIC (empat).

PN pula mengumumkan bertanding menerusi PAS di 11 kerusi DUN, Bersatu (16), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) (lima) manakala Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) satu kerusi. 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top