am@hmetro.com.my
Kulai: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, nama calon Menteri Besar daripada parti itu sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 akan diumumkan apabila tiba masanya.
Saifuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR berkata, fokus PH ketika ini adalah membantu semua calon parti itu berkempen.
“When the time come we will make announcement. For now kita teruskan fokus pada kempen kita,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Status bakal MB daripada PH sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 terus menjadi tanda tanya meskipun ramai yang meramalkan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Maszlee Malik.
Mengulas mengenai hari penamaan calon, beliau berkata, semua 56 calon PH yang bertanding berjaya mengemukakan kertas pencalonan masing-masing dan diterima Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai satu permulaan yang baik buat PH dalam menghadapi pilihan raya negeri kali ini.
“Selepas selesai proses penamaan calon, tumpuan kita kini beralih sepenuhnya kepada gerak kerja kempen bagi memastikan mesej dan tawaran PH dapat disampaikan kepada pengundi di seluruh Johor,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




