mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Cadangan penggunaan kit ujian air liur dalam sekatan jalan raya (SJR) bagi mengesan pemandu menggunakan vape bercampur dadah disifatkan sebagai pendekatan praktikal dan relevan.
Penganalisis Jenayah Bebas dan Kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim bagaimanapun berkata, pelaksanaannya perlu disokong dengan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas serta pengesahan melalui ujian makmal.
Menurutnya, kit berkenaan boleh dijadikan alat saringan awal bagi membantu pihak berkuasa mengenal pasti individu yang disyaki berada di bawah pengaruh bahan terlarang.
“Penggunaan vape yang dicampur dadah kini semakin sukar dikesan melalui pemerhatian biasa kerana kebanyakan pengguna tidak menunjukkan tanda fizikal yang ketara.
“Kit ujian air liur mampu memberikan petunjuk awal dengan pantas, namun keputusan yang diperoleh tidak boleh dianggap muktamad dan perlu disusuli dengan ujian pengesahan di makmal serta SOP yang lengkap,” katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.
Beliau berkata, dari sudut kriminologi, kebarangkalian tinggi untuk dikesan mampu memberi kesan pencegahan yang lebih berkesan berbanding hukuman semata-mata.
“Pelaksanaan ujian itu secara konsisten boleh mengubah persepsi bahawa penggunaan vape bercampur dadah sukar dikesan, sekali gus mengurangkan kecenderungan pemandu mengambil bahan terlarang sebelum memandu.
“Bagaimanapun, pelaksanaan cadangan itu berdepan beberapa cabaran termasuk kos kit yang tinggi, keperluan latihan khusus kepada anggota penguat kuasa serta aspek logistik,” katanya.
Katanya, anggota perlu memahami had keupayaan kit, prosedur pengambilan sampel dan cara mengendalikan keputusan secara profesional.
“Selain itu, operasi juga perlu dirancang supaya tidak menyebabkan kelewatan melampau hingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas.
“Sama ada semua pengguna vape perlu menjalani saringan atau tidak, saya berpendapat pendekatan berasaskan risiko lebih sesuai dilaksanakan bagi mengimbangi keselamatan awam dan hak individu,” katanya.
Shahul berkata, pemeriksaan boleh difokuskan terhadap individu yang menunjukkan tingkah laku pemanduan berbahaya atau mempunyai petunjuk munasabah disyaki berada di bawah pengaruh dadah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha menangani penyalahgunaan vape bercampur dadah tidak boleh bergantung kepada saringan jalan raya semata-mata.
“Sebaliknya penguatkuasaan perlu diperluaskan kepada usaha memutuskan rangkaian bekalan termasuk operasi risikan terhadap pembekal, pemantauan kandungan cecair vape yang mencurigakan, pengesanan jualan secara dalam talian serta kerjasama antara agensi.
“Pada masa sama, pendidikan awam juga penting kerana masih ada tanggapan bahawa penggunaan vape kurang berbahaya atau sukar dikesan.
“Secara keseluruhannya, kit ujian air liur boleh menjadi alat tambahan yang berguna, namun keberkesanannya bergantung kepada pelaksanaan yang tepat, latihan mencukupi serta strategi pencegahan yang lebih menyeluruh,” katanya.
Media semalam melaporkan polis bakal menggunakan kit ujian air liur di lokasi SJR bagi mengesan pemandu dan pengguna cecair dadah sintetik jenis Piu Piu serta Magic Mushroom.
Langkah itu diambil berikutan kes kemalangan dipercayai banyak membabitkan pengguna jalan raya yang khayal akibat menggunakan dadah sintetik berkenaan yang dicampurkan dalam rokok peranti elektronik atau vape.
© New Straits Times Press (M) Bhd




