KULAI – Pakatan Harapan (PH) akan memuktamadkan manifesto bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Isnin ini sebelum melancarkan tawaran rasmi kepada rakyat negeri berkenaan dalam tempoh terdekat.
Ketua Setiausahanya PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jawatankuasa Manifesto PH telah menyiapkan draf tawaran tersebut sejak minggu lalu dan hanya menunggu pengesahan akhir daripada kepimpinan tertinggi gabungan berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Calon Bebas, Saifuddin, Amirudin warnai penamaan calon Puteri Wangsa
Menurutnya, pertemuan yang dijadualkan pada jam 9 pagi Isnin itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi PH bersama barisan pimpinan utama gabungan sebelum manifesto berkenaan dilancarkan.
“Kali ini kami tampil dengan satu kerangka manifesto yang realistik, bersifat ‘tangible’ dan ‘reasonable’.
“Jawatankuasa Manifesto telah memuktamadkan tawaran tersebut dan saya akan membentangkannya kepada pimpinan utama PH pada Isnin sebelum pengesahan akhir dibuat,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengarah Pilihan Raya bersama.
Saifuddin berkata, manifesto berkenaan akan memberi penekanan terhadap kepentingan rakyat Johor memilih sebuah kerajaan negeri yang bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan lebih banyak manfaat disalurkan kepada negeri itu.
Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan kesemua 56 calon PH berjaya mengemukakan kertas pencalonan tanpa sebarang masalah dan diterima Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Saifuddin Nasution
Jelasnya, kejayaan itu menjadi permulaan yang baik buat PH yang bertanding dengan matlamat untuk membentuk kerajaan negeri, bukannya sekadar menjadi pembangkang.
“Kami menawarkan diri sebagai pilihan kepada rakyat Johor untuk mengambil alih pentadbiran negeri.
“Pilihan raya ini adalah urusan demokrasi yang serius, bukan medan uji kaji atau pertandingan populariti. Rakyat perlu memilih gabungan yang mempunyai dasar, calon berkualiti dan pelan jelas untuk mentadbir Johor bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Tambah Saifuddin, PH memasuki PRN Johor dengan persediaan lebih tersusun apabila berjaya memuktamadkan rundingan kerusi, pemilihan calon serta pelancaran jentera lebih awal berbanding gabungan lain.
Jelasnya, keadaan itu membuktikan PH memandang serius pilihan raya berkenaan selain mencerminkan kesepakatan dalam kalangan parti komponen.
Pada masa sama, beliau menyifatkan rakyat Johor perlu membuat pilihan secara bijak dengan memilih gabungan yang benar-benar bersedia mentadbir negeri dan bukannya gabungan yang didakwa masih berdepan ketidaksefahaman dalaman.
“PH ialah gabungan yang dibina atas asas kepercayaan dan saling menghormati. Kami saling melengkapi kekuatan serta menampung kelemahan antara satu sama lain dan itulah kelebihan yang kami tawarkan kepada rakyat Johor,” katanya.



