PRN Johor: 3 kali kalah, calon Bebas tak serik cuba nasib di Bukit Naning

PRN Johor: 3 kali kalah, calon Bebas tak serik cuba nasib di Bukit Naning

am@hmetro.com.my

Muar: Tiga kali berturut-turut tewas namun tidak mematahkan semangat calon Bebas, S Jeganathan untuk sekali lagi mencuba nasib bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Jeganathan yang pernah bertanding atas tiket Bebas di DUN Bukit Naning pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRN Johor pada 2022 serta Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram pada 2023 namun tewas kesemuanya.

Menurut Jeganathan, keinginannya bertanding sekali pun hilang wang pertaruhan dalam kesemua percubaan dibuat atas dasar keyakinan boleh menang serta permintaan pengundi di DUN terbabit.

“Saya merasakan ada harapan untuk menang, ada peluang kali ini selepas kalah tiga kali berturut-turut. Saya masih bersemangat dan tidak pernah putus asa untuk membantu rakyat kali ini.

“Jadi saya mengambil keputusan untuk bertanding, rakyat pun gembira bila tahu saya bertanding,” katanya.

Ditanya isu yang akan diketengahkan sepanjang kempen, Jeganathan yang juga kontraktor berkata, beliau akan menyelesaikan masalah infrastruktur termasuk membaik pulih jalan raya dalam DUN Bukit Naning.

“Rakyat beritahu wakil rakyat sebelum ini jarang turun padang, kalau turun pun di kawasan tertentu. Jadi rakyat hubungi saya dan mengadu permasalahan dialami.

“Secara kebetulan saya sebagai kontraktor, saya menggunakan sendiri jentera seperti lori untuk membantu membaik pulih jalan raya rosak,” katanya.

Perjalanan politik Jeganathan bermula pada PRU14 apabila bertanding atas tike bebas namun tewas dalam saingan empat penjuru. Beliau hanya meraih 364 undi.

Pada PRN 2022, beliau mencuba nasib sekali lagi dan walaupun tewas, undi yang diraih meningkat lima kali ganda iaitu 1,514 undi.

Percubaan kali ketiga pula di DUN Simpang Jeram ketika itu diadakan PRK susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub. Pada PRK ini, Jeganathan hanya mampu meraih 311 undi serta hilang wang pertaruhan.

Pada PRN kali ini, Jeganathan berhadapan saingan lima penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Ghazali Sabari, Md Ysahrudin Kusni (PKR), Iskandar Md Alias (BERSAMA) dan Mohd Radzi Amin (Perikatan Nasional).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top