DUN Bukit Kepong: BN letak muka baharu, calon PH cuba jadi YB kali kedua, PN yakin pertahan kerusi

DUN Bukit Kepong: BN letak muka baharu, calon PH cuba jadi YB kali kedua, PN yakin pertahan kerusi

MUAR – Pertembungan tiga penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong menyaksikan BN mempertaruhkan calon muka baharu sementara Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon Ketua Cabang Pagoh yang mencuba nasib buat kali kedua menjadi wakil rakyat manakala Perikatan Nasional (PN) berharap penyandang terdahulu mempertahankan kerusi dimenangi.

Calon BN, Ahmad Syarie Yusof berkata, jentera UMNO Bahagian Pagoh kini berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik dan yakin momentum itu mampu dikekalkan hingga hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.

Menurutnya, walaupun berdepan penyandang kerusi yang juga Pengerusi PN Johor dan bekas Menteri Besar Johor namun beliau tidak menganggap faktor itu sebagai tekanan.

“Politik adalah kerja berpasukan. Saya melihat berdasarkan rekod dua penggal wakil rakyat terdahulu, masih banyak perkara yang perlu diberi perhatian kepada penduduk Bukit Kepong.

“Cadangan projek perumahan yang pernah dirancang sebelum ini tidak diteruskan dan saya melihat kawasan ini tidak mendapat perhatian sewajarnya walaupun pernah diwakili bekas Menteri Besar,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Kompleks Sukan Pagoh di sini pada Sabtu.

Ahmad Syarie

Ahmad Syarie

Beliau berkata, kekuatan jentera UMNO Pagoh yang mempunyai 97 cawangan termasuk 57 di Bukit Kepong menjadi antara kelebihan BN untuk merampas semula kerusi itu.

Dalam pada itu, Ahmad Syarie yang juga pesara guru turut melihat perpecahan antara Bersatu dan Pas dalam PRN kali ini sebagai ruang yang boleh dimanfaatkan oleh BN sepanjang kempen.

Katanya, setakat ini BN belum menjalankan usaha khusus meraih undi ahli Pas, namun tidak menolak kemungkinan berbuat demikian sekiranya terdapat peluang.

“Saya orang tempatan dan mengenali ramai penduduk di sini. Lebih baik kita bermuafakat kerana akhirnya rakyat juga yang mendapat manfaat,” katanya.

Calon PH, C Subramani berkata, beliau optimis mampu mencatat kemenangan bergaya di Bukit Kepong selepas pernah bertanding di DUN Buloh Kasap pada Pilihah Raya Negeri (PRN) Johor 2022.

Menurut Ketua Cabang PKR Pagoh itu, beliau telah berkhidmat di kawasan berkenaan selama lebih sembilan tahun dan mengenali keperluan penduduk.

“Saya sudah tiga penggal menjadi Ketua Cabang PKR Pagoh. Sebab itu saya yakin boleh menang kerana saya sudah lama bekerja di kawasan ini dan penyokong juga meletakkan harapan kepada saya.

“Saya juga diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri untuk bertanding di Bukit Kepong,” katanya.

Beliau berkata, antara isu utama yang dibangkitkan penduduk adalah kekurangan kemudahan asas termasuk lampu jalan, pembangunan kawasan pelancongan Galeri Bukit Kepong, peluang pekerjaan, perumahan mampu milik serta penghijrahan golongan muda ke luar kawasan.

Subramani

Subramani

“Ramai anak muda terpaksa berhijrah ke Singapura, Kuala Lumpur dan negeri lain kerana tiada peluang pekerjaan serta industri di sini.

“Pendapatan kebanyakan penduduk pula di bawah RM2,500 tetapi rumah mampu milik juga sukar diperoleh. Ini antara perkara yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Sementara itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin calon PN, Datuk Dr Sahruddin Jamal mampu mempertahankan kerusi DUN Bukit Kepong berdasarkan prestasi perkhidmatan yang ditunjukkan sepanjang menjadi wakil rakyat.

“Saya yakin pengundi di Bukit Kepong mengenali beliau dan akan terus memberikan sokongan untuk memilih beliau sekali lagi sebagai Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN).

“Bukan sahaja di Bukit Kepong, saya juga berharap calon-calon PN di 16 kerusi DUN yang ditandingi Bersatu akan terus mendapat sokongan rakyat,” katanya.

Menurut Muhyiddin, fokus PN ialah meneruskan agenda membantu rakyat terutama dalam menangani peningkatan kos sara hidup, mewujudkan peluang pekerjaan, menarik pelaburan serta membangunkan ekonomi setempat.

Beliau berkata, PN juga akan terus memperjuangkan isu peneroka selain komited membanteras rasuah dan memastikan pentadbiran yang lebih telus demi kepentingan rakyat.

Dr Sahruddin

Dr Sahruddin

Scroll to Top