PRN Johor: Maszlee sedia debat dengan Onn Hafiz

PRN Johor: Maszlee sedia debat dengan Onn Hafiz

JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Maszlee Malik menyatakan kesediaan untuk bersemuka dan berdebat dengan mana-mana pihak, terutamanya Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi membentangkan visi serta membela nasib keseluruhan rakyat yang diwakili oleh PH.

“Saya menerima berdebat dengan mana-mana pihak terutamanya dengan pihak Menteri Besar kerana kita ingin mengemukakan visi bagi mewakili Pakatan Harapan. 

“Kita ingin membawa visi yang membawa suara rakyat daripada sekecil-kecil rakyat sehingga ke sebesar-besar rakyat kerana itulah raison d’être ataupun tujuan Pakatan Harapan,” katanya.

Pada masa sama, Maszlee juga bertekad membawa pembangunan seimbang di seluruh daerah di Johor sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata, kemenangan PH di Puteri Wangsa dan di seluruh negeri itu amat penting bagi membawa episod pembangunan baharu yang bukan hanya tertumpu di kawasan selatan Johor, sekali gus membolehkan setiap lapisan rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Kita mahu Johor yang membawa kemajuan yang seimbang di seluruh daerahnya. Kita mahu setiap pihak menikmati kehidupan yang lebih baik, bukan hanya mereka yang berada di selatan Johor, bukan hanya untuk golongan tertentu, tetapi semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Dato’ Onn di sini pada Sabtu.

Maszlee berkata, beliau turut bertekad untuk merancakkan ekonomi negeri dengan menarik pelaburan strategik bagi menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi, sekali gus mampu menarik kepulangan anak-anak Johor di luar negara untuk kembali menyumbang bakti di tanah air sendiri.

“Kita yakin jika kita berjaya membawa pelaburan yang benar-benar strategik dengan bayaran gaji yang lebih tinggi kepada kepada anak-anak Johor, kepada para pekerja, insya-ALLAH kita boleh berupaya untuk membawa anak-anak Johor pulang dan bekerja di Johor tanpa perlu bekerja di luar,” katanya.

Selain agenda ekonomi, bekas Menteri Pendidikan itu menggariskan beberapa manifesto utama termasuk menjadikan pendidikan sebagai agenda utama, membela kebajikan hampir 100,000 golongan orang kurang upaya (OKU) di Johor, menyediakan rumah mampu milik untuk anak muda serta mewujudkan lebih banyak taska komuniti dan di tempat kerja bagi menyokong wanita bekerjaya.

Mengenai strategi meningkatkan peratusan keluar mengundi, Maszlee berkata jentera kempen akan berusaha memberi keyakinan kepada pengundi Johor yang berada di luar, termasuk mereka yang bekerja di Singapura dan Kuala Lumpur, untuk pulang menunaikan tanggungjawab.

“Mereka bukan sahaja mengundi untuk parti yang menang tetapi mengundi untuk masa depan mereka, masa depan anak cucu mereka dan juga masa depan negeri Johor,” katanya.

Katanya, kemajuan Johor akan menjadi lebih mapan dan setara sekiranya pentadbiran negeri bergerak selari dengan pihak Kerajaan Persekutuan.

Kerusi DUN Puteri Wangsa menyaksikan pertandingan lima penjuru di antara Maszlee, Rashifa Aljunied daripada parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Teow Chia Ling (Barisan Nasional), Nicholas Paul Vincent (Parti Bersama Malaysia) dan Wang Wee Siong (Bebas).

Kerusi berkenaan sebelum ini disandang Amira Aisya Abd Aziz daripada Parti MUDA.

DUN berkenaan mempunyai 128,723 pemilih berdaftar yang merangkumi 128,525 pengundi biasa dan 198 pengundi anggota polis dan pasangan.- Bernama

Scroll to Top