Saya dah lali dikecam – Ernie Zakri

Saya dah lali dikecam – Ernie Zakri

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menyedari platform media sosialnya sering dihujani dengan rantaian komen toksik dan kecaman, penyanyi Ernie Zakri mengakui sudah lali dengan situasi sedemikian.

Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 34, berkata pengalaman lalu mematangkan dirinya untuk memilih mengabaikan kata-kata negatif meskipun terkesan dengan kecaman yang dilemparkan.

“Pada saya, mungkin bila kita sudah lali dan melalui segala fasa, benda itu (kecaman) sudah jadi satu perkara yang boleh saya abaikan.

“Namun, saya manusia biasa dan tidaklah bermakna saya abaikan terus. Sudah tentu apabila terbaca kecaman dan sebagainya, kadang-kadang perkara itu masuk juga dalam kepala,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Bagi menenangkan hatinya daripada terus terganggu dengan usikan netizen, Ernie sentiasa menyematkan prinsip bahawa individu yang normal tidak akan sewenang-wenangnya menghakimi orang lain.

“Apa yang saya ingin sampaikan, manusia yang normal tidak akan berkata buruk kepada seseorang tanpa mengenali orang itu sendiri. Perkara itu yang selalu saya pegang untuk menenangkan hati.

“Selebihnya, saya lebih kepada sudah lali. Apabila membaca (kecaman), saya cuma fikir ‘okey, cakaplah apa nak cakap’. Tetapi kalau perkara atau teguran yang bagus, saya akan ambil dan ubah apa yang perlu,” katanya.

Ditanya mengenai pandangannya terhadap Threads sama ada cenderung ke arah sudut negatif atau positif, pelantun lagu Ku Bersuara ini menjelaskan segalanya bergantung kepada niat dan cara penggunaan seseorang.

Menurut Ernie, dia juga melihat platform media sosial terbabit dari sudut pandang yang baik memandangkan dia berjaya mengumpul ramai peminat baharu.

“Ia bergantung (pada individu) sebab pada saya, banyak juga peminat baharu saya di Threads. Jadi, saya tidak boleh menganggap Threads itu sebagai satu platform yang negatif semata-mata.

“Berbalik kepada cara penggunaan kita. Kalau kita bawa ke arah negatif, maka negatiflah jadinya. Begitu juga sebaliknya kalau kita bawa ke arah positif.

“Sebab itu kadang-kadang saya suka berjenaka di Threads, semata-mata mahu menarik perhatian dan mengumpul peminat-peminat yang berfikiran positif,” kongsinya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top