Hari Bekerja Hibrid cerminkan kepercayaan tinggi kerajaan

Hari Bekerja Hibrid cerminkan kepercayaan tinggi kerajaan

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pelaksanaan Hari Bekerja Hibrid (HBH) dalam perkhidmatan awam yang berkuat kuasa 1 Ogos ini dilihat sebagai satu anjakan paradigma yang mencerminkan kepercayaan lebih tinggi kerajaan terhadap keupayaan penjawat awam melaksanakan tugas dengan cemerlang.

Ketua Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Nor Wahiza Abdul Wahat berkata, pendekatan baharu itu memberi lebih fleksibiliti berbanding amalan bekerja dari rumah (BDR) yang dilaksanakan sebelum ini.

Beliau berkata, keputusan kerajaan membenarkan penjawat awam bekerja dua hari dari rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan Ketua Jabatan dan tiga hari di pejabat menunjukkan keyakinan bahawa produktiviti serta kualiti kerja dapat dikekalkan walaupun di luar pejabat.

“Ia mencerminkan kesediaan pucuk kepemimpinan dalam perkhidmatan awam untuk memberi lebih kepercayaan kepada penjawat awam bagi melaksanakan tanggungjawab dengan tahap kepercayaan yang lebih tinggi.

“Hal ini menunjukkan pengurusan yakin hasil kerja dan kualiti perkhidmatan masih mampu dicapai pada tahap cemerlang walaupun dengan fleksibiliti lokasi bekerja,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Jemaah Menteri hari ini bersetuju melaksanakan HBH sebagai norma baharu dalam Perkhidmatan Awam berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini, demikian menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Pelaksanaan HBH membolehkan penjawat awam bekerja dua hari di rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan oleh Ketua Jabatan dan tiga hari di pejabat tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi serta syarat yang ditetapkan.

Nor Wahiza berkata, pelaksanaan kerja hibrid juga selari dengan amalan di beberapa negara maju seperti Sweden dan Finland yang lebih awal mengadaptasi model berkenaan.

Katanya, langkah kerajaan turut dilihat sebagai usaha mengadaptasi amalan sektor swasta yang lebih awal melaksanakan model kerja hibrid selepas terbukti meningkatkan produktiviti dan prestasi organisasi.

“Saya pasti keputusan ini dibuat berdasarkan pemerhatian dan data terhadap produktiviti serta prestasi kerja cemerlang di sektor swasta yang lama mengamalkan sistem hibrid.

“Justeru, kepimpinan perkhidmatan awam mengambil langkah ke hadapan dengan mencontohi amalan berkenaan selepas melihat impak positif yang berjaya dicapai oleh sektor swasta,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kejayaan pelaksanaan dasar itu bergantung kepada mekanisme pemantauan yang jelas, pengurusan tenaga kerja yang berkesan serta pengukuhan platform komunikasi digital.

“Kita perlu memastikan infrastruktur digital sentiasa dipertingkatkan supaya pelaksanaan kerja hibrid dapat diteruskan secara lestari tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan.

“Panduan yang jelas kepada pengurusan, penyelia dan pekerja juga penting supaya semua pihak memahami tanggungjawab masing-masing dalam norma baharu ini,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun tidak semua jawatan sesuai dilaksanakan secara hibrid terutama yang memerlukan kehadiran fizikal seperti petugas kesihatan, pegawai lapangan, pegawai pertanian serta kakitangan kaunter yang berurusan secara langsung dengan orang ramai.

“Hanya pekerjaan yang boleh mencapai objektif serta sasaran kerja tanpa bergantung kepada kehadiran fizikal di pejabat sesuai dilaksanakan secara hibrid,” katanya.

Mengulas ketetapan dua hari bekerja secara hibrid setiap minggu, penyelidik itu menyifatkan pendekatan berkenaan sebagai langkah yang wajar kerana kerajaan dapat menilai keberkesanan pelaksanaannya secara berperingkat sebelum mempertimbangkan penambahbaikan pada masa depan.

“Saya menyokong pendekatan secara progresif ini. Kerajaan boleh mengumpul data terlebih dahulu bagi menilai tahap produktiviti, keupayaan penjawat awam dan keberkesanan sistem sebelum membuat sebarang keputusan untuk memperluaskan pelaksanaannya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top