Watak cetus fenomena, Amerul Affendi sedia berlakon di Indonesia

Watak cetus fenomena, Amerul Affendi sedia berlakon di Indonesia

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon dan usahawan, Amerul Affendi, 39, bersedia mengembangkan bakat lakonan ke negara jiran Indonesia jika berpeluang selepas drama Good Boys Go To Heaven dibintanginya mencetuskan fenomena.

Amerul yang membawa watak Inspektor Kamal Hussaini dalam drama itu turut mendapat gelaran ‘Inspektor Kismis’ dalam kalangan pengguna media sosial sekali gus menyifatkan ia sebagai maklum balas positif.

“Memang nampak juga ada komen penonton luar seperti Indonesia pada watak Inspektor Kamal yang saya lakonkan itu bila muat naik video babak di media sosial. Pada saya, okaylah sebab ada juga orang yang suka.

“Terima kasih tengok lakonan saya dan kalau ada tawaran berlakon di sana (Indonesia), insya-Allah jika kena dengan watak dan jadual pun sesuai, saya sedia pertimbangkan untuk mencuba.

“Pada saya, semua itu rezeki daripada Allah dan saya tidak kisah untuk terima pun (tawaran). Bagi saya, satu pengalaman baharu juga kalau dapat bekerja dengan produksi dari luar negara,” katanya kepada Harian Metro ditemui baru-baru ini.

Ditanya juga gelaran ‘Inspektor Kismis’ gara-gara tabiat makan kismis dalam drama berkenaan, Amerul berkata, dia tidak menyangka akan dilabel penonton sebegitu.

“Sebagai Inspektor Kamal, memang watak itu dipaparkan suka makan kismis sambil menyiasat. Sekadar kudap-kudap, tetapi tidak sangka sampai dapat gelaran ‘Inspektor Kismis’ juga. Kelakarlah.

“Malah, yang ‘best’ juga bila ada yang mahu saya jadi duta produk kismis. Sampaikan saya jadi dapat idea bisnes baharu yang rasa macam hendak keluarkan produk kismis sendiri untuk dijual.

“Maklum sahaja bila tengok sambutan baik dan bagus seperti ini daripada penonton, sudah macam ada satu cabang perniagaan boleh dicuba. Saya pula memang suka bisnes dan nampaklah ada potensi.

“Apa salahnya sekali sekala kita cuba buat juga (berniaga kismis). Sementara benda tengah laku, rezeki juga namanya itu kan,” katanya melihat positif dan terbuka kepada setiap peluang.

Selain Ameerul, drama Good Boys Go To Heaven turut dibintangi barisan pelakon seperti Beto Kusyairy, Zahirah MacWilson, Mila Mohsin, Firdaus Karim, Malek Mccrone, Amanda Ang dan Sky Iskandar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top