Kuala Lumpur: Juara program realiti All Together Now Malaysia (ATNMY) musim pertama, Idris Brown, 30, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 1.45 tengah hari tadi.
Berita pemergian Allahyarham Idris atau nama sebenarnya Idris Zulkifli dimaklumkan sahabatnya, Raziq Rashid menerusi hantaran di Instagram Story (IGs), petang tadi.
Raziq dalam perkongsiannya memohon orang ramai mendoakan kesejahteraan Allahyarham.
“Buat yang mengenali sahabat kami, Idris, beliau baru sahaja menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi. Mohon doa semua agar arwah tenang di sana. Al-Fatihah,” katanya.
Bagaimanapun, butiran terperinci mengenai pemergian Allahyarham tidak didedahkan.
Sementara itu, syarikat rakaman Rocketfuel Entertainment turut mengesahkan khabar duka berkenaan menerusi hantaran di media sosial.
Menurut kenyataan itu, Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), HKL.
“Pihak @rocketfuelent baru sahaja menerima perkhabaran duka mengenai pemergian @idrisbrown25 yang meninggal dunia di Wad ICU, Hospital Kuala Lumpur.
“Salam takziah buat keluarga Allahyarham dan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.
Untuk rekod, Idris Brown dikenali sebagai antara penyanyi yang aktif meneroka ruang baharu dalam industri muzik tempatan.
Allahyarham pernah mencuri perhatian apabila mengambil pendekatan berbeza menerusi penerbitan single sulung berkonsepkan muzik klasikal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




