Houston: Jordan sememangnya sedar penampilan sulung mereka di Piala Dunia bakal menjadi ujian yang sukar, namun hakikat bahawa mereka mampu memberi saingan dalam ketiga-tiga perlawanan memberikan harapan besar untuk masa depan, kata jurulatih Jamal Sellami.
Jordan menamatkan kempen tanpa sebarang mata, namun berjaya menjaringkan gol dalam setiap perlawanan dalam Kumpulan J yang turut dibarisi juara dunia Argentina, Austria dan Algeria.
Mereka tewas dalam ketiga-tiga perlawanan, tetapi tidak pernah kelihatan terlalu jauh ketinggalan dan jurulatih dari Maghribi itu percaya pasukannya kini lebih matang untuk menghadapi kejohanan Asia pada masa depan serta mencuba sekali lagi untuk layak ke Piala Dunia akan datang.
Sellami berharap aksi di pentas dunia itu dapat memperlihatkan kualiti dimiliki pemain Jordan dan membantu lebih ramai pemain mereka mendapat peluang beraksi di liga yang lebih besar, sesuatu yang dianggap penting untuk pembangunan pasukan.
“Kami mempunyai kelompok pemain muda yang memiliki masa depan yang besar.
“Saya fikir ini adalah pengalaman yang sangat penting buat mereka.
“Namun perkara paling penting yang boleh memberikan lebih momentum, motivasi dan peluang untuk menang ialah mempunyai pemain yang beraksi di liga yang lebih kompetitif dan lebih kuat.
“Itulah yang kita lihat sepanjang Piala Dunia ini. Kita melihat pasukan Afrika, daripada 10 negara yang bertanding, sembilan berjaya layak ke pusingan 32 terbaik.
“Di Asia pula, berapa banyak yang layak? Hanya dua pasukan iaitu Jepun dan Australia.
“Oleh itu, bola sepak pada tahap tinggi memerlukan pemain yang beraksi di liga utama Eropah supaya mereka dapat memperoleh tahap persaingan yang diperlukan,” katanya.
Daripada skuad Piala Dunia Jordan, hanya penyerang Rennes, Mousa Altamari beraksi di salah satu daripada lima liga utama Eropah.
Walaupun pasukannya gagal meraih sebarang mata, Sellami tetap berbangga dengan usaha dan persembahan yang ditampilkan sepanjang kejohanan.
“Semua ini adalah pengalaman untuk pemain.
“Saya bangga dengan apa yang mereka berikan dan gembira dengan apa yang kami capai.
“Saya mengharapkan masa depan yang cerah untuk bola sepak Jordan dan berharap Jordan akan kembali beraksi pada Piala Dunia akan datang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




