Materazzi kagum lihat kisah dongeng Cape Verde

Materazzi kagum lihat kisah dongeng Cape Verde

Miami: Wira Piala Dunia Itali 2006, Marco Materazzi menyifatkan Cape Verde sebagai kejutan terbesar Piala Dunia 2026 selepas terpegun dengan penampilan sulung negara Afrika itu di pentas dunia.

Negara kepulauan Cape Verde, antara negara terkecil yang pernah layak ke Piala Dunia, berjaya memikat peminat apabila menamatkan saingan peringkat kumpulan tanpa kalah menerusi tiga keputusan seri untuk menduduki tempat kedua di belakang Sepanyol dan mengatasi Uruguay.

Pasukan yang diketuai penjaga gol berpengaruh, Vozinha itu kini memperoleh pertemuan impian pada pusingan 32 apabila dijadual menentang juara bertahan, Argentina di Miami, Sabtu ini.

“Cape Verde adalah kejutan terbesar setakat ini. Kini mereka perlu menentang juara dunia.

“Kita akan lihat apa yang berlaku. Kami berada di Miami dan tidak sabar untuk menyaksikan perlawanan itu.

“Mereka adalah pasukan bukan pilihan. Tetapi dalam tempoh 90 minit dalam bola sepak, kita tidak pernah tahu apa yang boleh berlaku,” kata Materazzi kepada Reuters.

Bekas pertahanan berusia 52 tahun itu bagaimanapun mengakui Cape Verde berdepan tugas amat sukar untuk menewaskan Argentina yang diketuai Lionel Messi.

Materazzi turut memuji Messi yang terus menentang faktor usia apabila penyerang berusia 39 tahun itu kini mendahului senarai penjaring kejohanan dengan enam gol.

“Argentina jauh lebih baik berbanding Cape Verde ketika ini dan mereka memiliki salah seorang pemain terbaik dalam sejarah.

“Saya suka melihat Messi bermain dan saya tidak sabar menyaksikannya beraksi. Bermain pada usia 39 tahun bukan sesuatu yang mudah dan dia masih antara pemain terbaik dunia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top