suliati@hmetro.com.my
DALAM dunia perakaunan profesional, peperiksaan Advanced Performance Management (APM) di bawah Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) sering dianggap antara kertas paling mencabar untuk ditakluki.
Dengan kadar kelulusan global yang lazimnya berada sekitar 30 hingga 40 peratus, peperiksaan itu bukan sekadar menguji kefahaman teori, malah menuntut calon berfikir secara strategik, menganalisis situasi perniagaan yang kompleks dan membuat keputusan seperti seorang pengurus korporat sebenar.
Atas faktor itu, ramai beranggapan hanya mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam industri mampu cemerlang dalam kertas berkenaan.
Namun, persepsi itu berjaya ditepis oleh penuntut Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang secara konsisten membuktikan kemampuan mereka bersaing dengan calon terbaik dunia.
Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, tiga penuntut UiTM berjaya menempatkan diri dalam kelompok terbaik dunia bagi peperiksaan ACCA APM.
Bermula dengan kejayaan Nur Afiqah Mohamad Fazil berada di kedudukan nombor satu di Malaysia dan nombor tujuh di dunia pada sesi Julai 2021.
Legasi kecemerlangan itu diteruskan Azammil Ikram Shamsuddin yang meraih kedudukan nombor satu (Malaysia) dan nombor 10 dunia pada sesi Mac 2025.
Terbaharu, Julea Qiestyna Abu Zar mencipta pencapaian paling membanggakan apabila menduduki tempat pertama di Malaysia dan kedua di dunia dalam peperiksaan sesi Mac 2026.
Rentetan kejayaan membanggakan yang dicapai dalam tiga sesi peperiksaan berbeza itu, ia membuktikan kecemerlangan penuntut UiTM dalam ACCA APM bukanlah suatu kebetulan.
Sebaliknya, ia lahir daripada budaya pembelajaran yang sistematik, strategi pengajaran yang berkesan serta komitmen tinggi penuntut dan pensyarah dalam mengejar kecemerlangan akademik bertaraf global.
Jika diteliti, kejayaan mereka bertiga bukan diraih melalui budaya menghafal jawapan atau mengumpul nota semata-mata.
Sebaliknya, mereka melatih diri untuk berfikir seperti seorang akauntan profesional.
Bagi Azammil, sebahagian besar masa ulang kajinya dihabiskan dengan meneliti dan menganalisis corak soalan peperiksaan terdahulu.
“Memahami pola peperiksaan, agihan markah dan kehendak sebenar soalan membantu membina keyakinan serta meningkatkan kecekapan menjawab.
“Latihan berterusan juga membantu kita memahami bagaimana dunia perniagaan sebenar berfungsi dan membuat keputusan,” katanya.
Azammil berkata, dia juga membangunkan sistem nota peribadi yang menggabungkan koleksi soalan peperiksaan lepas, jawapan kendiri, cadangan skema jawapan serta refleksi terhadap kelemahan yang dikenal pasti sepanjang proses pembelajaran.
Bagi Julea pula, kejayaannya dibina atas prinsip konsistensi.
Julea percaya usaha kecil yang dilakukan secara berterusan jauh lebih berkesan berbanding budaya belajar secara tergesa-gesa menjelang peperiksaan.
“Mengikuti kelas secara aktif, membuat nota, menyiapkan tugasan harian dan mengkaji skema jawapan secara mendalam menjadi rutin yang saya amalkan sepanjang semester,” katanya.
Walaupun aktif dalam pelbagai aktiviti kepimpinan dan program pelajar, Julea tetap memastikan momentum pembelajarannya tidak terjejas dengan memanfaatkan rakaman kuliah dan sesi perbincangan dalam talian.
Bagi Nur Afiqah, penguasaan konsep menjadi asas utama untuk cemerlang dalam peperiksaan APM.
Menurutnya, menghafal jawapan tanpa memahami logik dan rasional di sebalik sesuatu konsep hanya akan mengehadkan kemampuan calon untuk berfikir secara kritikal dan menghasilkan analisis yang bernilai.
“Menerusi pendekatan ini, ia membolehkan saya memahami bagaimana teori pengurusan prestasi diaplikasikan dalam situasi perniagaan sebenar.
“Ia sekali gus memudahkan proses analisis, justifikasi dan pembinaan cadangan semasa peperiksaan.
“Laporan pemeriksa, analisis kesilapan lazim calon dan teknik memahami kehendak soalan banyak membantu saya menghasilkan jawapan yang lebih tepat, tersusun dan berimpak,” katanya.
Sementara itu, pensyarah perakaunan UiTM Dr Adibah Jamaludin berkata, terdapat satu ciri utama yang dikongsi ketiga-ketiga penuntut cemerlang ini iaitu mereka sentiasa berfikir di luar kebiasaan.
“Mereka bukan sekadar bertanya ‘apa jawapannya’, tetapi lebih gemar meneroka ‘mengapa’, ‘bagaimana’ dan ‘apakah implikasinya kepada organisasi’.
“Keupayaan inilah yang membezakan calon biasa dengan calon bertaraf dunia kerana APM tidak memberikan markah tinggi kepada jawapan berbentuk hafalan semata-mata,” katanya.
Menurutnya, keupayaan berfikir secara mendalam itulah yang membezakan calon biasa dengan calon bertaraf dunia kerana APM tidak memberikan markah tinggi kepada jawapan berbentuk hafalan semata-mata.
“Sebaliknya, calon perlu menunjukkan kemampuan menghubungkan teori dengan realiti perniagaan serta menghasilkan cadangan yang praktikal dan relevan,” katanya.
Selain itu, Fakulti Perakaunan UiTM turut mengaplikasikan model pembelajaran ‘IGERU’ (Introduce, Guide, Empower, Reinforce dan Upgrade) yang dibangunkan dan diamalkan oleh Dr Adibah.
Dr Adibah berkata, model itu menekankan pembangunan penuntut secara progresif bermula daripada penguasaan konsep asas sehingga mereka mampu berfikir, menulis dan menganalisis pada tahap yang setara dengan seorang profesional.
“Melalui pendekatan ini, proses pembelajaran tidak tertumpu kepada penyampaian silibus semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada aplikasi konsep, teknik menjawab soalan dan kemahiran menghasilkan hujah profesional yang berkualiti.
“Latihan berterusan, maklum balas terperinci, analisis laporan pemeriksa, sesi ‘debrief ‘dan pemantauan prestasi secara sistematik juga menjadi antara elemen utama yang membantu pelajar mencapai potensi maksimum mereka,” katanya.
Pendekatan itu membantu ketiga-tiga penuntut ini mengekalkan disiplin dan konsistensi sepanjang tempoh pengajian.
Bukan itu saja, bimbingan pensyarah juga adalah faktor penting yang memastikan penuntut sentiasa berada pada landasan yang betul melalui penyediaan bahan rujukan berkualiti serta maklum balas yang konstruktif.
Kejayaan Nur Afiqah, Azammil dan Julea bukan sekadar pencapaian individu yang membanggakan, malah menjadi bukti keupayaan Fakulti Perakaunan UiTM dalam melahirkan graduan Bumiputera yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Dr Adibah berkata, pencapaian ini turut mencerminkan kekuatan ekosistem pembelajaran yang menekankan kecemerlangan akademik, pembangunan pemikiran kritikal serta bimbingan berterusan oleh tenaga pengajar yang berpengalaman.
“Lebih penting, kisah ini membuktikan bahawa kejayaan di pentas global tidak semestinya bergantung kepada pengalaman industri yang panjang.
“Sebaliknya, dengan strategi pembelajaran yang tepat, disiplin yang tinggi, kesungguhan yang berterusan dan bimbingan akademik yang mantap, penuntut tempatan juga mampu mengharumkan nama universiti dan negara di persada dunia.
“Kejayaan mereka menjadi inspirasi bahawa kecemerlangan bukanlah soal siapa yang paling berpengalaman, tetapi siapa yang paling bersedia untuk belajar, berfikir dan terus memperbaiki diri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




