'Biar saya jadi mata, telinganya'

'Biar saya jadi mata, telinganya'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Batu Gajah: “Saya tak boleh meramal apa yang akan berlaku pada masa hadapan, tapi selagi bernyawa, biarlah saya jadi mata dan telinganya.”

Itu kata Ya Zahra Junaid, 38, ketika menceritakan kisah anak bongsunya, Saif Al Hadid Sahril Amar, tujuh bulan, atau nama manjanya Hadid yang dilahirkan tanpa bebola mata selain mempunyai masalah pendengaran, lebihan cecair dalam kepala atau hidrosefalus dan sumbing lelangit.

Sebagai ibu, Ya Zahra mengakui sedih pada awalnya namun kini bersyukur kerana menganggap anak syurga itu sebagai kurniaan terindah daripada Allah SWT buat dia dan suami, Sahril Amar Aman, 46, selepas menganugerahkan tiga zuriat yang normal.

Menceritakan kisahnya, Ya Zahra berkata, doktor mengesan anaknya mengalami hidrosefalus ketika kandungan berusia tujuh bulan (28 minggu) dan dinasihatkan menggugurkannya pada usia 30 minggu.

“Tapi saya tak setuju dan teruskan kehamilan hingga diizinkan Allah SWT untuk melahirkan Hadid sebagai bayi pramatang iaitu ketika kandungan berusia 34 minggu.

“Ingatkan hidrosefalus saja tapi tak sangka Hadid lahir tanpa bebola mata, masalah pendengaran dan sumbing.

“Dua minggu juga Hadid ditahan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) sebelum doktor minta bawa balik kerana katanya sudah tiada harapan. Saya dan suami akur cuma bulan kedua, kami bawanya berjumpa pakar yang mengakui terkejut kerana lihat anak masih bertahan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, keluarganya dan mentua menerima Hadid dengan tangan terbuka malah semua insan terdekat menyayangi anaknya.

Katanya, sokongan keluarga dan suami membuatkannya lebih kuat untuk membesarkan anak syurganya sekali gus berdamai dengan takdir.

“Anak lain pun faham walaupun pada awalnya mereka terkejut dan tanya kenapa adik tak buka mata.

“Lama-kelamaan mereka dapat menerima Hadid yang kini aktif, malah sudah pandai pegang botol susu. Hadid pun suka tersenyum dan senyumannya memikat hati saya.

“Cuma doktor kata masalah pendengaran Hadid semakin teruk dan sepatutnya kena pakai alat bantuan mendengar tapi belum boleh lagi kerana Hadid ada masalah otak, dikhuatiri tak boleh proses pun isyarat bunyi diterima daripada peranti itu,” katanya.

Setakat ini, Ya Zahra bersyukur kerana tidak pernah berdepan individu yang memperlekehkan keadaan anaknya walaupun selepas berkongsi video Hadid di TikTok kira-kira dua minggu lalu.

“Alhamdulillah, penerimaan warganet amat baik cuma biasalah bila bawa anak keluar, ada orang akan tanya, jadi saya hanya jawab Hadid anak istimewa.

“Ramai mendoakannya malah keluarga sentiasa pesan kepada saya dan suami untuk jaga Hadid dengan sebaiknya kerana dia anak syurga.

“Hadid pun tak mudah demam atau terlantar, malah belum pernah diserang sawan jadi itu pun sudah buat saya bersyukur,” katanya yang mendoakan Hadid membesar dengan sihat.

Sementara itu, suaminya, Sahril Amar yang juga guru di sebuah sekolah rendah menerima Hadid sebagai amanah dan hadiah tidak ternilai pemberian Allah SWT.

Menurutnya, tiada apa yang perlu dipersoalkan malah dia bersyukur Hadid sihat dan mudah dijaga kerana tidak kuat meragam atau menangis.

“Saya dan isteri pernah diuji dengan kehilangan anak kembar yang tidak dapat diselamatkan selepas ada masalah waktu dalam kandungan.

“Itu titik hitam kami dan berat nak terima, kemudian bila diberitahu doktor keadaan Hadid yang kemungkinan dilahirkan dengan hidrosefalus, saya terfikir juga apa lagi dugaan Allah SWT nak bagi.

“Tapi sebagai orang Islam, saya kena terima qada dan qadar, jadi syukur dikurniakan Hadid kerana sebelum ini, Allah SWT sudah beri anak normal.

“Kali ini kami dapat anak istimewa pula cuma hanya boleh bermain dengan Hadid tapi dia tak dapat melihat saya. Tapi Hadid penghibur hati saya dan isteri kerana walaupun belum boleh bercakap dan tak menangis, suaranya yang nyaring cukup untuk menghilangkan kesunyian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top