mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan pemandu Perodua Kembara yang dikesan memandu secara berbahaya sebelum merempuh dua kenderaan lain dan melarikan diri di Lebuhraya Persekutuan, di sini, pada 20 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya mengesan video kejadian yang tular di media sosial pada 7.45 malam tadi sebelum siasatan lanjut dijalankan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 6.10 petang apabila Perodua Kembara yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 59 tahun itu dalam perjalanan dari Shah Alam menghala ke Kuala Lumpur.
“Setiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai memandu secara berbahaya sehingga melanggar sebuah kereta dan sebuah motosikal.
“Selepas kemalangan itu, pemandu terbabit melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Sunway untuk mendapatkan rawatan.
“Polis masih mengesan pemandu terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang melihat atau berada di lokasi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Kumaran Murugaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerusi talian 03-7966 2222 atau hadir ke balai polis berhampiran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




