SHAH ALAM – Penantian lebih sedekad berakhir apabila Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam mula beroperasi hari ini sekali gus menjadi pemangkin kepada perubahan landskap pengangkutan awam dan ekonomi di koridor barat Lembah Klang.
Laluan sepanjang 37.8 kilometer (km) yang menghubungkan Bandar Utama hingga Johan Setia, termasuk 2.5km laluan bawah tanah dirasmikan pada Ahad oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dibuka kepada orang ramai mulai hari ini.
Ketua Laluan Shah Alam, Mohd Ariffin Idris berkata, projek tersebut dijangka memberi manfaat buat kira-kira 2 juta penduduk di Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.
Menurut beliau, Laluan Shah Alam dikenali sebagai LRT3 kerana ia merupakan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) ketiga dibangunkan di negara ini yang menelan kos sebanyak RM16.63 bilion.

Reka bentuk stesen diinspirasikan daripada tanjak, sebagai simbol penghargaan terhadap warisan seni dan budaya Malaysia.
“Reka bentuk stesen pula diinspirasikan daripada tanjak, sebagai simbol penghargaan terhadap warisan seni dan budaya Malaysia.
“Untuk kesemua stesen, Laluan Stadium Shah Alam ialah yang terbesar, fasilitinya paling lengkap dan ia menjadi pusat untuk kesemua 20 stesen.
“Di sepanjang jajaran ini juga, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyasarkan jumlah harian penumpang sekitar 67,000 dalam tahun pertama operasi dan untuk lima tahun akan datang seramai 117,708 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika lawatan pra-pembukaan eksklusif Prasarana bersama media terpilih di Stesen Stadium Shah Alam di sini pada Selasa lalu.

Pemilihan warna pastel dalam gerabak memberikan efek tenang kepada pengguna.
Laluan Shah Alam yang menggunapakai 22 unit tren tiga gerabak itu beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari dengan kekerapan lapan minit ketika waktu puncak dan 10 hingga 15 minit di luar waktu puncak.
Kemudahan park and ride turut disediakan di enam stesen iaitu di Kayu Ara, Damansara Idaman, Pasar Klang, Seri Andalas, Bandar Bukit Tinggi dan Johan Setia dengan jumlah keseluruhan tempat parkir sebanyak 2,300 petak.

Teknologi
Mohd Ariffin menambah, Laluan Shah Alam mengadaptasi kecanggihan teknologi hijau antaranya sistem penyaman udara tren kenderaan rel ringan (LRV) menggunakan inverter dan penyaman udara pintar bagi mengutamakan aliran pengudaraan baik serta sistem pencahayaan semula jadi untuk meningkatkan kecekapan tenaga.
Jelasnya lagi, LRT3 merupakan projek rel pertama di Malaysia menggunakan teknologi ‘U-Trough’ iaitu komponen blok girder berbentuk U yang dihasilkan secara pra-reka di luar tapak pembinaan, kemudiannya dibawa ke lokasi untuk pemasangan.

Mohd Ariffin
“U-Trough juga dilengkapi dengan penghadang bunyi untuk mengurangkan gangguan bunyi kepada kawasan sekitarnya semasa peringkat operasi,” menurutnya.
Di samping itu, kata beliau, kemudahan surau, tandas dan laluan mesra orang kurang upaya (OKU) serta tempat duduk khas buat penumpang OKU turut disediakan di setiap gerabak.
“Satu lagi fakta menarik adalah pemilihan warna di dalam gerabak. Kami memilih rona pastel iaitu merah jambu cair dan ungu kerana ia memberikan efek tenang kepada pengguna,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Mohd Ariffin memaklumkan, kerja-kerja pembinaan lima lagi stesen yang dikembalikan iaitu Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik akan bermula pada penghujung tahun ini.

Laluan bawah tanah sepanjang 2.5km yang mengubungkan antara stesen Stadium Shah Alam dengan stesen Dato’ Menteri.
Ditanya lebih lanjut tentang keperluan meningkatkan mobiliti pengangkutan awam selain tren, Mohd Ariffin berkata, jajaran baharu itu turut dilengkapi dengan 40 bas perantara yang memulakan perjalanan di 323 hentian melibatkan 13 laluan khas, dengan tambang bermula RM1.
“Kami juga menyediakan perkhidmatan van ‘Rapid On-Demand’ sebanyak 44 unit di 20 kawasan dengan bayaran hanya RM2.
“Ia bakal diselaraskan mengikut permintaan dan corak perjalanan selepas pembukaan Laluan Shah Alam,” jelas Mohd Ariffin.



