KKR semak semula skala bayaran jurutera selepas 28 tahun

KKR semak semula skala bayaran jurutera selepas 28 tahun

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Lembaga Jurutera Malaysia sedang menyemak semula dan meminda skala bayaran jurutera di Malaysia.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, tindakan itu bertujuan menyesuaikan kadar yuran dengan realiti ekonomi semasa, termasuk kos operasi firma kejuruteraan yang meningkat serta menyetarakan imbuhan dengan profesion binaan lain di negara ini.

“Langkah semakan komprehensif ini penting memandangkan struktur kadar yuran sedia ada adalah kali terakhir diwartakan 28 tahun lalu, iaitu pada 7 Disember 1998.

“Berdasarkan simulasi teknikal yang dijalankan, perubahan ini dianggarkan bakal menyelaras kenaikan yuran perunding sekitar 9.23 peratus bagi sesuatu projek pembangunan fizikal yang melibatkan unjuran kos, contohnya kerja bernilai RM200 juta.

“Draf akhir pindaan peraturan tersebut telah dikemukakan untuk semakan undang-undang dan penelitian oleh Jabatan Peguam Negara sebelum boleh diwartakan secara rasmi di bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967,” katanya di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Dalam pada itu Ahmad menjelaskan, sebaik skala baharu diwartakan kelak, ia wajib dipatuhi oleh semua jurutera profesional dan firma perunding kejuruteraan yang beroperasi dalam sektor awam mahupun swasta.

Malah beliau menegaskan, pematuhan mandatori penting bagi memelihara integriti profesion kejuruteraan, menyekat amalan persaingan harga tidak sihat serta memastikan kualiti reka bentuk dan tahap keselamatan infrastruktur tidak dikompromi.

“Bagi pelaksanaan merentasi projek milik kerajaan Persekutuan, KKR komited memastikan tiada sebarang kekeliruan atau ketidakseragaman dalam kalangan agensi pelaksana di bawah pelbagai kementerian.

“Lembaga Jurutera Malaysia telah mengemukakan cadangan rasmi pada 10 Mac lalu kepada Kementerian Kewangan supaya skala yuran minimum baharu ini diselaraskan dan dikuatkuasakan secara berpusat di bawah Pekeliling Perbendaharaan Malaysia iaitu Kos Perkhidmatan Perunding dan Imbuhan Balik,” jelasnya.

Scroll to Top