Isu lompat parti tidak jejas sokongan akar umbi terhadap Alwiyah

Isu lompat parti tidak jejas sokongan akar umbi terhadap Alwiyah

am@hmetro.com.my

Mersing: Isu ‘lompat parti’ yang dimainkan pihak lawan tidak menjejaskan sokongan akar umbi terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib.

Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keyakinan itu berdasarkan penerimaan positif akar umbi terhadap Alwiyah atau lebih mesra disapa Kak Awi, selepas beliau kembali menyertai BN menerusi gagasan Rumah Bangsa Johor.

Beliau berkata, Alwiyah sebelum ini membuktikan komitmennya sebagai pemimpin yang sentiasa bekerja untuk rakyat walaupun pernah berada di pihak pembangkang.

“Kita bersyukur dengan konsep Rumah Bangsa Johor yang digagaskan Presiden (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan di peringkat akar umbi, mereka boleh menerima Kak Awi kembali ke pangkuan BN.

“Kita semua tahu Kak Awi pemimpin yang baik. Walaupun sebelum ini beliau berada di pihak pembangkang, beliau sentiasa menjalankan tanggungjawab untuk rakyat,” katanya selepas Program OnnXOnn bersama Menteri Besar Johor, di sini, hari ini.

Sementara itu, Onn Hafiz memberi jaminan akan memberikan sokongan penuh kepada Alwiyah bagi memastikan BN mempertahankan kerusi DUN Endau pada PRN Johor.

Beliau berkata, kekuatan jentera parti termasuk UMNO, MCA, MIC serta sayap Pemuda, Wanita dan Puteri akan digerakkan bagi mendekati pengundi.

“Saya beri keyakinan kepada Wanita, Pemuda, Puteri, MCA, MIC dan UMNO bahawa saya akan beri sokongan penuh kepada Kak Awi.

“Kita masih ada masa dua minggu. Kalau semua yang ada di sini turun mengundi dan bergerak membantu, kita boleh mencapai kemenangan,” katanya.

Beliau berkata, kemenangan BN di Endau turut bergantung kepada sokongan semua kaum kerana kekuatan Bangsa Johor terletak pada keharmonian masyarakat berbilang kaum.

“Di Endau ada lebih 1,000 masyarakat Orang Asli, sekitar 4,000 masyarakat Cina, kira-kira 21,000 Melayu dan sekitar 200 masyarakat India.

“Kita perlu bergerak bersama kerana kekuatan kita adalah kebersamaan,” katanya.

Pada PRN Johor 2022, Alwiyah yang ketika itu mewakili Perikatan Nasional (PN) mempertahankan kerusi DUN Endau dengan majoriti 3,041 undi dalam saingan lima penjuru.

Sebelum itu, beliau memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) atas tiket BN sebelum menyertai BERSATU.

Kerusi DUN Endau yang mempunyai 28,767 pemilih berdaftar menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan Alwiyah, Saiful Nizam Samat (Pakatan Harapan), Hasnul Hakimi Hussien (PN) dan Jati Awang daripada Parti Orang Asli Malaysia (ASLI).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top