Tiada kemalangan jiwa membabitkan warga Malaysia dalam kejadian letupan bom di Takbai

Tiada kemalangan jiwa membabitkan warga Malaysia dalam kejadian letupan bom di Takbai

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia di Thailand khususnya di wilayah selatan negara itu dinasihatkan supaya lebih berwaspada susulan insiden peranti letupan buatan sendiri (IED) di Narathiwat, Thailand hari ini.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, tiada kemalangan jiwa membabitkan warga Malaysia dalam kejadian kira-kira 11.45 pagi itu.

“Laporan awal menunjukkan bahawa sebuah kenderaan warganegara Malaysia turut terjejas dalam letupan itu.

“Kementerian ingin mengesahkan pada peringkat awal ini bahawa tiada kemalangan jiwa membabitkan warganegara Malaysia akibat insiden ini.

“Konsulat Jeneral sedang berhubung aktif dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengumpul maklumat sahih selanjutnya dan menyalurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada pihak yang terjejas,” kata kenyataan itu.

Terdahulu Harian Metro melaporkan dua rakyat Malaysia menaiki sebuah kenderaan cedera akibat terkena letupan bom di Kampung Sapom, Takbai.

Mangsa ialah lelaki berusia 38 dan 45 tahun.

Sehubungan itu Wisma Putra menasihatkan warga Malaysia supaya mematuhi arahan daripada pihak berkuasa tempatan dan mengemas kini maklumat perhubungan menerusi portal e-Konsular supaya mudah dihubungi pihak kedutaan di

di pautan https://ekonsular.kln.gov.my

Katanya, bagi mereka yang memerlukan bantuan segera atau dalam keadaan kecemasan boleh berhubung terus dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menerusi talian telefon atau WhatsApp (6674) 316 274, (6681) 990 1930, (6674) 324 004 dan (6674) 312 353.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top