JOHOR BAHRU – Parti Bersama memperkenalkan inisiatif ‘Jemput Calon’ yang membolehkan pengundi sendiri menjemput calon hadir ke rumah atau premis mereka untuk sesi dialog dan soal jawab.
Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pendekatan itu bertujuan mengubah budaya kempen politik yang selama ini terlalu bergantung kepada penganjuran program berskala besar dan menelan kos tinggi.
Menurutnya, calon yang meminta mandat daripada rakyat seharusnya hadir memenuhi jemputan pengundi, bukannya sekadar mengharapkan orang ramai hadir ke majlis yang dianjurkan parti.
“Dalam lebih 20 tahun saya berkempen, saya tidak pernah melihat kaedah seperti ini dibuat. Kita mahu ubah cara berkempen. Yang meminta undi ialah calon, jadi biarlah rakyat pula memanggil calon untuk dinilai dan disoal.
“Kaedah ini bukan sahaja bantu kurangkan perbelanjaan kempen, tetapi turut melatih calon belajar dan bertemu penduduk setempat. Kita tidak mahu calon ‘chipsmore’, masa bertanding jumpa semua, salam semua, tetapi lepas menang hilang,” katanya pada sidang media di Taman Sri Tebrau pada Selasa.
Beliau berkata, kemudahan itu terbuka kepada semua pihak termasuk persatuan penduduk, persatuan komuniti, jawatankuasa kawasan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun sekumpulan jiran yang ingin mengenali calon dengan lebih dekat.
Katanya, pengundi hanya perlu melayari laman layaribersama.org, memilih profil calon PRN Johor 2026 dan menekan butang ‘Jemput Calon Ini’ sebelum mengisi maklumat seperti nama, nombor telefon, e-mel serta lokasi pertemuan.
“Sama ada persatuan penduduk atau sekumpulan jiran empat atau lima buah rumah, semua boleh menjemput calon hadir ke rumah atau premis mereka untuk sesi suai kenal dan soal jawab,” katanya lagi.



