Gelombang haba: Rumah mayat di Paris mula sesak

Gelombang haba: Rumah mayat di Paris mula sesak

Paris: Rumah mayat di sini sesak akibat peningkatan mendadak jumlah kematian sepanjang gelombang haba di Perancis, menurut Ketua Persekutuan Pengebumian Kebangsaan, Elisabeth Charrier.

Beliau berkata, kadar penggunaan rumah pengebumian yang lazimnya antara 30 hingga 45 peratus pada musim panas kini meningkat melebihi 66 peratus di seluruh negara, manakala di beberapa lokasi, rumah mayat sudah mencapai kapasiti penuh.

“Dua rumah pengebumian di tengah Paris berada pada kapasiti penuh sejak Jumaat lalu, sehingga orang ramai terpaksa ke kawasan pinggir bandar untuk mencari ruang bagi memberikan penghormatan terakhir,” katanya.

Beliau turut memberi amaran, keadaan itu boleh menjadi lebih rumit berikutan tempoh menunggu yang lebih lama bagi mendapatkan slot pembakaran mayat atau ruang pengebumian di tanah perkuburan.

Kira-kira 1,000 kematian direkodkan di Perancis akibat cuaca panas melampau sejak Rabu minggu lalu, ketika negara itu berdepan gelombang haba yang memecahkan rekod.

Pegawai kesihatan Perancis berkata, 85 peratus daripada mereka yang meninggal dunia berusia 65 tahun ke atas.

Katanya, peningkatan paling ketara membabitkan individu yang meninggal dunia di rumah, terutama di Paris dan kawasan pinggir bandarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top