Boston: Tidak ramai mengetahui bahawa Jonathan Tah mengambil tanggungjawab menyempurnakan sepakan penalti pertama dalam karier profesionalnya selepas beberapa rakan sepasukan Jerman dikatakan enggan memikul tugas itu ketika tewas mengejut di tangan Paraguay menerusi penentuan penalti, semalam.
Skuad kendalian Julian Nagelsmann tersingkir selepas tewas kepada Paraguay yang mara sebagai antara pasukan tempat ketiga terbaik dari peringkat kumpulan.
Penentuan penalti itu menjadi perbualan hangat di media sosial, terutama selepas kapten Joshua Kimmich dilihat berbincang dengan beberapa pemain termasuk Leon Goretzka dan Nathaniel Brown sebelum Tah tampil mengambil sepakan.
Malah, menurut laporan Metro, Kimmich dilaporkan meminta Goretzka mengambil sepakan sebanyak dua kali tetapi pemain tengah itu dikatakan terus menolak.
Tah akhirnya gagal menyempurnakan sepakan penentu ketika menentang pasukan kendalian Gustavo Alfaro selepas Kimmich, Kai Havertz, Jamal Musiala, Nick Woltemade dan Nadiem Amiri terlebih dahulu mengambil penalti di Stadium Boston.
Ketika perbincangan mengenai penyingkiran Jerman di pusingan 32 terbaik terus hangat, laporan BILD mendakwa berlaku “kesukaran dalaman” untuk menentukan pengambil sepakan penalti keenam.
Tah akhirnya tampil mengambil sepakan pertama dalam karier profesionalnya, tetapi hanya selepas beberapa rakan sepasukan dikatakan teragak-agak dan cuba mengelak daripada memikul tanggungjawab ketika tekanan memuncak.
Leon Goretzka, Nathaniel Brown, Malick Thiaw, Waldemar Anton dan Manuel Neuer tidak mengambil sebarang sepakan penalti pada malam tersebut.
Memandangkan rekod sempurna Goretzka, ramai terkejut dengan keputusannya untuk tidak tampil. Menurut Transfermarkt, pemain tengah berusia 31 tahun itu berjaya menyempurnakan ketiga-tiga penalti yang pernah diambilnya sebelum ini.
Tempoh kendalian Nagelsmann kini menerima kritikan hebat susulan penyingkiran awal Jerman daripada kejohanan, dengan banyak media di negara itu mengaitkan keputusan mengecewakan tersebut dengan pengurus berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




