Letupan Tak Bai: Mangsa trauma diberi kaunseling

Letupan Tak Bai: Mangsa trauma diberi kaunseling

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Mangsa cedera akibat letupan bom di Tak Bai, Thailand, pagi kelmarin, yang kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, akan diberi rawatan kaunseling selepas ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, keadaan mangsa adalah stabil.

“Pada masa ini, pihak hospital memberi tumpuan kepada luka dan cedera akibat bom. Selepas ini akan disusuli dengan rawatan sokongan lain seperti kaunseling akibat trauma yang dialami mangsa.

“Hanya seorang sahaja mangsa iaitu Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, yang masih menerima rawatan di HRPZ II, manakala rakannya sudah dibenarkan pulang ke rumah semalam.

“Kita akan memantau keadaan mangsa dari semasa ke semasa. Mangsa mengalami kecederaan patah paha,” katanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan, dua rakyat Malaysia cedera selepas terkena letupan bom di Tak Bai, Thailand, 11.40 pagi kelmarin.

Mangsa iaitu Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, dan Muhammad Yusri Udin, 38, dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kelantan selepas bercuti di Narathiwat.

Mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Narathiwat sebelum dipindahkan ke HRPZ II, pagi semalam.

Susulan kejadian itu, polis Thailand memaklumkan letupan bom berkenaan sebenarnya tidak menyasarkan mangsa, sebaliknya sebuah lagi kenderaan yang melalui laluan sama.

Komander Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha dilaporkan berkata, siasatan pihak berkuasa Thailand mendapati alat letupan buatan sendiri (IED) itu dipasang untuk menyasarkan sebuah kenderaan lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top