JPA buka permohonan opsyen pinjaman boleh ubah berasaskan merit akademik fasa kedua

JPA buka permohonan opsyen pinjaman boleh ubah berasaskan merit akademik fasa kedua

bhnews@bh.com.my

Putrajaya: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuka permohonan Opsyen Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik) Fasa Kedua mulai 1 Julai hingga 31 Ogos ini, membabitkan lebih 59,000 bekas pelajar tajaan JPA yang menamatkan pengajian pada atau sebelum 31 Disember 2024.

JPA memaklumkan, pelaksanaan Fasa Kedua itu memperluaskan manfaat PBU Akademik kepada lebih ramai bekas pelajar tajaan JPA yang memenuhi syarat kelayakan.

“Pelajar yang layak memohon ialah mereka yang menamatkan pengajian pada atau sebelum 31 Disember 2024, tidak mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman atau Elaun Terlebih Bayar (ETB) serta masih berada dalam tempoh ikatan kontrak berkhidmat dengan Kerajaan, syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) atau syarikat swasta.

“Bagi pelajar yang masih mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman atau ETB, permohonan boleh dikemukakan selepas semua tunggakan diselesaikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

JPA berkata, opsyen itu tidak ditawarkan kepada pelajar yang ditamatkan penajaan kerana

melanggar syarat Perjanjian PBU 2016, sudah menyelesaikan sepenuhnya bayaran balik pinjaman atau ikatan kontrak berkhidmat di bawah PBU 2016 atau gagal melengkapkan penajaan berpakej sehingga setaraf Ijazah Pertama.

Pelajar yang layak perlu mengemas kini maklumat perhubungan melalui Portal Malaysian Student Engagement Online Feed (MySELF) sebelum mengemukakan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Dokumen perjanjian hendaklah ditandatangani secara dalam talian melalui sistem ePROMISE, diikuti bayaran duti setem menerusi sistem MyTAX LHDNM dalam tempoh 30 hari selepas dokumen perjanjian ditandatangani.

“Sebarang bayaran balik pinjaman PBU 2016 yang telah dibuat sebelum pelaksanaan opsyen ini tidak akan dipulangkan,” katanya.

Justeru, bekas pelajar tajaan JPA yang memenuhi syarat kelayakan disaran menyemak status masing-masing serta mengemukakan permohonan melalui Portal MySELF dalam tempoh yang ditetapkan.

PBU Akademik adalah model penajaan baharu JPA yang diperkenalkan pada 1 Jun 2025 bagi menentukan kadar bayaran balik pinjaman berdasarkan pencapaian akademik pelajar.

Model itu memperkenalkan pendekatan baharu yang beralih daripada penentuan bayaran balik berdasarkan tempat berkhidmat kepada pencapaian akademik pelajar.

Sehingga kini, lebih 11,000 pelajar baharu sudah menerima penajaan di bawah model PBU Akademik.

Selain itu, lebih 23,000 pelajar sedia ada di bawah model Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Tempat Berkhidmat (PBU 2016) sudah menyertai Opsyen Fasa Pertama yang dilaksanakan dari Januari hingga Mac lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top