‘Drama’ Kongres Luar Biasa FAM

KONGRES Luar Biasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Petaling Jaya sebentar tadi diwarnai ‘drama’ apabila kelayakan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said dipertikai.

Isu itu timbul susulan surat bantahan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang diserahkan kepada Setiausaha Agung FAM pada 8 September lalu, selain turut dikemukakan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Perkara berkenaan dibangkitkan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John yang bertindak selaku Pengerusi pada awal persidangan kongres.

Windsor menjelaskan kongres masih boleh diteruskan, namun mana-mana perwakilan yang mempunyai bantahan boleh mengemukakan rayuan susulan dakwaan berlaku ‘kecacatan’ dalam pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan.

Perwakilan Perak, Selangor dan Kuching City kemudian meminta perkara itu diteruskan serta direkodkan dalam minit mesyuarat, namun Windsor tidak membenarkannya atas alasan statut dan peraturan FAM perlu dipinda terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Windsor menegaskan proses pemilihan tetap boleh diteruskan dan ketika ini sedang berlangsung sesi undian.

Kontroversi itu tercetus selepas pelantikan Abdullah dipersoalkan kerana didakwa tidak memenuhi syarat ditetapkan dalam Kod Pemilihan FAM 2026 yang baharu.

Klausa 5 kod berkenaan menetapkan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan mestilah individu yang layak menjalankan amalan guaman.

Berdasarkan profil akademik rasmi Abdullah di Universiti Teknologi MARA (UiTM), beliau mempunyai kelayakan dalam bidang Alam Sekitar serta Perancangan Bandar dan Wilayah.

Rekod akademik berkenaan menyatakan beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Alam Sekitar, Sarjana Perancangan Bandar dari University of Wales, United Kingdom serta PhD dalam bidang Perancangan Bandar dan Wilayah.

Tiada kelayakan dalam bidang undang-undang disenaraikan dalam rekod akademik rasmi berkenaan.

Isu kelayakan itu turut menjadi perhatian kerana jawatankuasa yang dipengerusikan Abdullah bertanggungjawab mengendalikan proses pemilihan barisan Exco FAM, termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan anggota Jawatankuasa Eksekutif.

Sebelum ini, Abdullah memaklumkan semua pencalonan bagi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi baki penggal 2025 hingga 2029 sudah melalui proses semakan dan pengesahan berdasarkan Statut FAM serta peraturan dan tatacara pemilihan ditetapkan.

Scroll to Top