bisnes@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pameran Hadiah Malaysia ke-16 (MGF) 2026 anjuran Persatuan Hadiah & Cenderamata Malaysia (MGPA) menyasarkan nilai transaksi antara RM60 juta hingga RM65 juta sepanjang penganjuran tiga hari bermula semalam, didorong penyertaan lebih besar berbanding edisi sebelumnya.
Presiden MGPA, Ivan Loo berkata, sasaran itu melepasi nilai transaksi lebih RM50 juta yang direkodkan pada penganjuran tahun lalu.
“Tahun lalu, dalam tempoh tiga hari, kita mencatat transaksi kira-kira RM50 juta. Tahun ini kami yakin angka itu akan meningkat kerana skala pameran jauh lebih besar.
“Tahun lalu kita menggunakan tiga dewan dengan kira-kira 300 reruai, manakala tahun ini pameran berkembang kepada empat dewan dengan lebih 400 reruai. Kami menyasarkan nilai transaksi sekitar RM60 juta hingga RM65 juta,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian MGF 2026 di sini semalam.
MGF 2026 melakar sejarah tersendiri apabila membuka tirainya hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai edisi terbesar sejak penganjurannya.
Memasuki edisi ke-16, pameran anjuran MGPA dengan pengiktirafan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu membawa tema ‘Mentakrifkan Semula Pemberian Hadiah Mampan untuk Masa Depan yang Lebih Baik’ yang menekankan komitmen industri terhadap amalan pemberian hadiah lebih bertanggungjawab dan mampan.
Loo berkata landskap perniagaan global ketika ini berubah dengan pesat, khususnya melibatkan pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Pematuhan ESG kini bukan lagi sekadar aspirasi, tetapi piawaian global. Dalam masa sama, teknologi dan AI sedang mengubah cara perniagaan dijalankan. Ini menuntut pembuat keputusan untuk membuat perolehan yang lebih bijak, pantas dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata tema pameran tahun ini mencerminkan hala tuju industri dalam memastikan pemberian hadiah selari dengan nilai dan tujuan lebih besar, selain mengangkat inovasi secara bertanggungjawab.
Tambahnya, industri hadiah dan premium mempunyai kedudukan unik kerana permintaan lazimnya meningkat apabila syarikat memperhebat usaha pemasaran ketika keadaan ekonomi mencabar.
“Apabila ekonomi perlahan dan jualan syarikat tidak begitu baik, mereka akan meningkatkan usaha promosi untuk merangsang jualan. Produk hadiah dan premium bukan sekadar hadiah, sebaliknya menjadi alat pemasaran bagi membantu syarikat mempromosikan produk mereka.
“Justeru, kami melihat prospek industri ini kekal positif bagi baki 2026 walaupun berdepan ketidaktentuan perdagangan global,” katanya.
Pameran tahun ini turut menyaksikan penyertaan pempamer antarabangsa dari Taiwan, Singapura, Thailand, Hong Kong, Bangladesh, Perancis dan Uzbekistan, selain penglibatan industri kraf tangan tempatan, sekali gus memperluaskan rantaian bekalan serta kepelbagaian produk ditawarkan.
Dalam pada itu, Pameran Hadiah Malaysia 2026 turut menerima pengiktirafan Rekod Asia sebagai Pameran Hadiah dan Premium Terbesar di Asia, yang mengukuhkan lagi kedudukannya dalam landskap perdagangan hadiah serantau.
Pengerusi Alex Chai berkata pengiktirafan Rekod Asia itu membuktikan impak dan skala pameran hasil sokongan berterusan pempamer, pembeli serta rakan strategik.
“Pameran Hadiah Malaysia kini secara rasmi diiktiraf oleh Rekod Asia. Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan skala dan impak industri pameran ini, malah merupakan kejayaan bersama hasil sokongan para pempamer, pembeli, rakan strategik dan semua pihak yang telah bersama kami selama ini. Kami amat menghargai sokongan berterusan dalam mengangkat industri hadiah Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, pameran ini turut dilihat memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perniagaan utama, di samping mengetengahkan kekuatan industri hadiah dan premium negara ke peringkat antarabangsa.
Pameran Hadiah Malaysia 2026 dibuka kepada profesional perdagangan dari 30 Jun hingga 2 Julai di KLCC, serta dijangka menarik lebih 16,000 profesional perdagangan sepanjang tiga hari penganjuran selain menghimpunkan lebih 400 reruai yang mempamerkan lebih 50,000 produk merentasi 10 kategori utama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




