Pengerusi dan Pengasas Unit Kenderaan Van Jenazah (UKVJ), Wan Cai berkongsi pengalaman menyayat hati apabila pihaknya pernah berdepan kes jenazah terpaksa menunggu terlalu lama untuk diuruskan hanya kerana waris tidak mampu membayar kos pengebumian.
Memetik laporan Kosmo!, ada jenazah yang dibiarkan sehingga beberapa jam dalam keadaan hanya ditutup dengan kain batik sebelum bantuan akhirnya sampai.
Dakwa ada jenazah terbiar sampai tujuh jam

Wan Cai berkata, isu seperti ini bukan perkara asing buat pihaknya kerana pernah mengendalikan sekurang-kurangnya 10 kes melibatkan situasi hampir sama di Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka.
Menurutnya, kebanyakan kes membabitkan keluarga daripada golongan miskin bandar yang berdepan kesempitan hidup sehingga tidak mampu menyediakan wang untuk kos pengurusan jenazah.
Ini kerana ada segelintir pengurusan kariah didakwa tidak mahu menguruskan jenazah itu sebab waris tiada wang.
Antara pengalaman paling sukar dilupakan, kata Wan Cai, ialah kes seorang lelaki yang meninggal dunia di sebuah rumah sewa kira-kira tujuh tahun lalu.
Ketika itu, arwah dikatakan meninggal dunia sekitar pukul 12 tengah hari, namun urusan pengurusan jenazah tidak dapat diteruskan dengan segera kerana waris tidak mempunyai kemampuan kewangan.
Kos yang perlu ditanggung ketika itu pula bukan sedikit, iaitu RM1,550 bagi urusan mandi dan kafan serta RM1,500 untuk membawa jenazah dari Shah Alam ke Pulau Pinang.
Secara keseluruhan, jumlah yang diperlukan mencecah RM3,050.
Difahamkan, rakan serumah arwah cuba mendapatkan bantuan daripada surau berhampiran bagi menguruskan jenazah tersebut.
Waris ketika itu anak arwah yang berada dalam kesempitan hidup. Dia hanya mampu berhubung melalui telefon dan tidak dapat datang ke Shah Alam. Apabila tidak mampu membayar, AJK itu hanya meluruskan badan jenazah, menutup dengan kain batik dan beredar.
Wan Cai berkata, keadaan menjadi lebih menyedihkan apabila pihaknya menerima maklumat agak lewat.
Ketika mereka tiba di lokasi, keadaan jenazah sudah begitu memilukan.
Apabila kami sampai, jenazah sudah dihurung semut. Itu yang paling menyedihkan.
Prosedur ketat buat waris makin tertekan

Dalam pada itu, Wan Cai turut membangkitkan isu kekeliruan prosedur pengurusan jenazah di beberapa kawasan yang akhirnya boleh melambatkan urusan pengebumian.
Katanya, ada tempat yang mewajibkan kebenaran daripada masjid dan pihak berkuasa tempatan sebelum pengebumian boleh dilakukan.
Keadaan itu, menurutnya, menyebabkan waris yang sedang berduka terpaksa berdepan tekanan tambahan antara urusan rasmi, kos dan masa.
Wan Cai berkata, terdapat kawasan termasuk di Ampang yang mempunyai garis panduan ketat apabila pengurusan jenazah perlu mendapat kebenaran masjid dan PBT.
Malah, katanya, ada urusan pengebumian yang hanya dibenarkan menggunakan khidmat pengurusan masjid dan bukan pertubuhan bukan kerajaan.
Fungsi khairat kematian juga sering disalah faham. Ia hanya meliputi kawasan kariah tertentu dan tidak semestinya boleh digunakan orang di luar kawasan atau negeri lain. Kalau seseorang meninggal di luar kawasan, khairat tidak akan menampung sepenuhnya. Sebab itu NGO memainkan peranan penting.
Menurut Wan Cai, peranan NGO sebenarnya sangat penting dalam kes mendesak kerana mereka boleh membantu mempercepatkan urusan fardu kifayah.
Namun, katanya, ada juga situasi apabila pihak kariah tidak mahu bekerjasama dengan NGO kerana isu bayaran.
Pssttt! Memang prosedur penting, tetapi dalam keadaan mendesak, jangan sampai urusan terakhir seseorang insan menjadi terlalu sukar hanya kerana isu bayaran. Semoga pihak berkaitan dapat memperkemas sistem bantuan supaya waris yang kurang berkemampuan tidak lagi berdepan situasi menyedihkan seperti ini.
Kredit: Kosmo!
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.




