PARLIMEN: Selangor, KL perlu banyak kolam takungan banjir – Hannah

PARLIMEN: Selangor, KL perlu banyak kolam takungan banjir – Hannah

KUALA LUMPUR: Selangor dan Kuala lumpur perlu lebih banyak kolam takungan banjir serta perlu dilindungi secara kekal daripada sebarang pembangunan atau pelupusan bagi menangani kejadian banjir kilat di kedua-dua kawasan berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, cadangan itu akan dibincangkan bersama kerajaan Selangor menerusi pasukan petugas khas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memastikan pendekatan tebatan banjir lebih menyeluruh dapat dilaksanakan.

“Kita perlu berbincang dengan kerajaan Selangor untuk mewujudkan lebih banyak kolam takungan banjir yang tidak akan dijual, sebaliknya dilindungi demi menjamin masa depan Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan V Ganabatirau (PH-Klang) mengenai jaminan tiada lagi kawasan kritikal bagi tebatan banjir dikorbankan atas nama pembangunan

Selain itu, Hannah berkata, sebanyak 16 kolam takungan setempat (OSD) juga dibina bagi mengurangkan risiko kejadian sama, masing-masing sembilan siap sepenuhnya, lima lagi dijangka siap dalam tempoh tiga tahun serta dua dalam pembinaan.

“Pihak swasta, pemaju, DBKL juga disyaratkan (membina) OSD untuk menakung air hujan. Ketika ini kita ada 65 OSD dibangunkan pemaju bagi menangani isu banjir kilat di Kuala Lumpur,” katanya.

Hannah turut berkata, DBKL menetapkan permohonan kebenaran merancang di sekitar kawasan kolam takungan di Kuala Lumpur tidak akan diluluskan hingga syarat teknikal ditetapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan agensi teknikal lain dipatuhi.

Beliau berkata, ketetapan itu dibuat sebagai kawalan terhadap sebarang pelanggaran prosedur, selain DBKL akan meningkatkan aspek tadbir urus dan tatakelola pematuhan syarat pembangunan berkaitan infrastruktur tebatan banjir.

“Ini bagi memastikan pelaksanaan serta pematuhan terhadap keperluan dan syarat teknikal ditetapkan di bawah Garis Panduan Pelan Kerja Tanah dan Garis Panduan Pelan Kejuruteraan dilaksanakan dengan berkesan.

“DBKL juga akan memperkasa kerjasama dan penyelarasan antara agensi bagi memastikan aset infrastruktur tebatan banjir diurus, diselenggara dan dipelihara dengan baik dan berfungsi.

“Mengenai status penggunaan tanah membabitkan kolam takungan banjir, ketika ini terdapat 28 kolam takungan masing-masing 13 seliaan DBKL dan 15 lagi di bawah kendalian JPS Kuala Lumpur.

“Ia memainkan peranan penting bagi mengurangkan risiko banjir di ibu kota dengan kerja penyelenggaraan terus dilaksanakan bagi memastikan kapasiti kolam sentiasa berada pada tahap optimum,” katanya.

 

Scroll to Top