50 stesen BHPetrol beralih kepada tenaga solar

50 stesen BHPetrol beralih kepada tenaga solar

PETALING JAYA: Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd. (BHPetrol) dan MARA Incorporated Sdn. Bhd. (MARA Inc.) melancarkan projek pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) secara berperingkat di 50 stesen BHPetrol sekitar Lembah Klang.

Langkah itu sebagai sebahagian daripada usaha memperluas penggunaan tenaga boleh baharu dan menyokong agenda peralihan tenaga negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MARA Inc., Faizul Idzhar Ahmad Yazi berkata, MARA Inc. sentiasa komited untuk memberi tumpuan kepada pelaburan berimpak tinggi yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar.

“Justeru itu, inisiatif sistem solar PV ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh strategi pelaburan hijau MARA Inc.

“Sistem solar PV berkapasiti 1.4MWp itu dijangka mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 1,347 tan karbon dioksida (CO₂) setahun apabila siap sepenuhnya.

“la sekaligus menyumbang kepada usaha memperkukuh pembangunan ekonomi rendah karbon dan amalan pemiagaan yang lebih mampan,” katanya dalam kenyataan.

Pelaksanaan projek pemasangan sistem solar PV ini merupakan hasil kerjasama strategik antara BHPetrol dan MARA Inc. bagi mengintegrasikan teknologi tenaga bersih ke dalam operasi rangkaian stesen minyak.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Fardzi Shah Razali berkata, pelaksanaan system solar PV di stesen-stesen BHPetrol merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan BHPetrol dalam memperkukuh amalan perniagaan lestari serta meningkatkan kecekapan tenaga di seluruh stesen operasi BHPetrol.

“Inisiatif ini bukan sekadar pelaburan dalam infrastruktur tenaga hijau, tetapi juga manifestasi komitmen BHPetrol dalam menyokong sasaran negara ke arah masa depan yang lebih mampan.

“Kami percaya bahawa usaha bersepadu antara sektor awam dan swasta adalah kunci untuk mempercepatkan penggunaan tenaga bersih dan memastikan generasi akan datang dapat menikmati persekitaran yang lebih lestari.” katanya.

Selain pembangunan infrastruktur tenaga boleh baharu, projek ini turut memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan melalui penglibatan pelajar dan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Inisiatif tersebut membuka peluang kepada golongan muda untuk memperoleh pendedahan secara langsung kepada teknologi solar PV serta meningkatkan kesiapsiagaan mereka untuk memenuhi keperluan industri tenaga hijau yang semakin berkembang.

Sehingga Jun 2026, sebanyak 15 stesen BHPetrol telah siap dipasang dan beroperasi menggunakan sistem solar PV, manakala baki 35 stesen akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga mencapai sasaran keseluruhan projek.

Apabila siap sepenuhnya, projek itu dijangka menjadi antara pelaksanaan tenaga solar yang signifikan dalam sektor runcit petroleum negara.

Ia sekali gus memperlihatkan peranan sektor korporat dalam menyokong aspirasi Malaysia ke arah penggunaan tenaga yang lebih bersih dan mampan. – UTUSAN

Scroll to Top