Sultan Selangor puji Najib mulakan LRT3, DAP ditegur tak faham projek

Sultan Selangor puji Najib mulakan LRT3, DAP ditegur tak faham projek

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak kerana menerima titah baginda untuk membina Laluan LRT3 Shah Alam yang menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur, titah baginda.

Dalam kenyataan sama, baginda mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meneruskan pelaksanaan projek itu selepas ia dikecilkan dan tergendala ketika pentadbiran bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bersama penasihatnya, Tony Pua, titah baginda.

Menerusi titah perutusan sempena kejayaan pelaksanaan projek berkenaan, baginda bertitah cadangan pembinaan laluan itu dikemukakan kepada Najib pada 2015 ketika majlis berbuka puasa selepas menerima aduan rakyat berhubung kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan.

“Pertama sekali, Beta ingin memberi penghargaan (credit) kepada bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana mendengar titah Beta agar satu kemudahan pengangkutan rel dibina menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur,” titah baginda.

Baginda bertitah pentadbiran Najib turut memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada 2018 bagi mengurangkan kesesakan trafik.

Artikel lain: Sultan Selangor titah perpecahan Melayu hanya rugikan bangsa sendiri – “Ambil iktibar sejarah lampau”

Namun, projek LRT3 tergendala lebih 18 bulan selepas pertukaran kerajaan pada 2018, sebelum berdepan kelewatan tambahan 19 bulan akibat pandemik COVID-19, titah baginda.

Menurut baginda, ketika Kementerian Kewangan diterajui Guan Eng bersama Tony Pua, kos projek dikecilkan atas alasan ia projek mega sehingga menyebabkan saiz stesen, jumlah gerabak serta lima cadangan stesen dalam jajaran itu dikurangkan.

“Beta ingin tegaskan bahawa ini bukan projek mega dan bukan projek untuk bermegah-megah, tetapi ianya projek untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat Beta,” titah baginda lagi.

Baginda berkata, projek itu kembali diteruskan selepas Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mengembalikan lima stesen yang dibatalkan serta merancang pembinaan rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3.

“Beliau juga telah mengarahkan agar tiada lagi sebarang halangan yang perlu dilayan daripada mana-mana pihak berkaitan dengan projek ini. Terima kasih dan Syabas Beta ucapkan kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda berharap LRT3 dapat mengurangkan kesesakan jalan raya serta mempertingkatkan kemudahan pengangkutan awam.

Baginda turut mengingatkan supaya tiada mana-mana pihak mendakwa kejayaan projek itu sebagai usaha mereka semata-mata kerana ia merupakan kesinambungan perancangan dan kerjasama pelbagai pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor.

Scroll to Top