WASHINGTON – Ketua Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Jared Isaacman berjanji akan menghantar sebiji bola sepak ke bulan sekiranya pasukan kebangsaan Amerika Syarikat (AS) menjuarai Piala Dunia 2026.
Beliau membuat pengumuman itu ketika membentangkan rancangan NASA untuk membina pangkalan di bulan, sambil menyuntik semangat kepada pasukan AS sempena kejohanan berkenaan yang dianjurkan bersama Mexico dan Kanada.
“Itulah cabarannya. Team USA, laksanakan tugas itu,” katanya.
NASA sebelum ini telah menghantar sebiji bola FIFA ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sempena kejohanan Piala Dunia 2026.
Namun, Isaacman berkata, jika AS berjaya merangkul gelaran dunia, NASA akan membawa bola itu lebih jauh iaitu ke bulan.
Beliau berkata, misi itu bakal mengatasi pencapaian angkasawan Alan Shepard yang pernah mencipta sejarah apabila melakukan beberapa pukulan golf di permukaan bulan pada 1971.
“Kami akan melakukan sesuatu yang lebih hebat daripada Alan Shepard. Kami akan membawa bola sepak ke sana,” katanya.
Jika direalisasikan, bola itu akan dibawa bersama muatan yang mengandungi pelbagai instrumen saintifik sebagai sebahagian daripada misi NASA membangunkan pangkalan di bulan dalam beberapa tahun akan datang.
Pengurus Program Pangkalan Bulan NASA, Carlos Garcia-Galan berkata, agensi itu pasti akan menyediakan ruang untuk membawa bola berkenaan sekiranya AS muncul juara.
Beliau bagaimanapun mengakui laluan pasukan AS untuk menjulang trofi Piala Dunia bukan mudah, namun menegaskan bola itu cukup ringan untuk dibawa dalam misi angkasa tersebut.
“Semuanya bergantung kepada pasukan kebangsaan lelaki AS. Semoga berjaya,” katanya. – Agensi



