Tiada gangguan bekalan di stesen minyak, transaksi Budi Diesel bawah 10 peratus – PDAM

Tiada gangguan bekalan di stesen minyak, transaksi Budi Diesel bawah 10 peratus – PDAM

SHAH ALAM – Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menjangkakan tidak berlaku gangguan besar bekalan atau kapasiti simpanan diesel di stesen minyak susulan pelaksanaan Budi Madani Diesel (Budi Diesel) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 di Sabah dan Sarawak bermula Rabu.

PDAM berkata, berdasarkan pemerhatian awal, jumlah transaksi Budi Diesel ketika ini masih kurang daripada 10 peratus daripada keseluruhan jualan diesel.

Katanya, secara keseluruhannya, PDAM menjangkakan operasi stesen minyak akan berjalan seperti biasa khususnya di Semenanjung Malaysia.

“Ini kerana jumlah pembelian diesel melalui mekanisme Budi Diesel bagi pengguna individu dijangka masih kecil berbanding keseluruhan jualan diesel di stesen minyak.

“Majoriti penggunaan diesel negara masih datang daripada sektor komersial, pengangkutan dan logistik yang sebahagian besarnya terus membeli diesel melalui mekanisme sedia ada seperti SKDS dan fleet card,” katanya dalam satu kenyataan.

Oleh itu, PDAM menegaskan, sebarang peningkatan permintaan daripada pengguna individu dijangka berada pada tahap terkawal dan mampu diserap oleh rangkaian logistik serta kapasiti simpanan stesen minyak.

Menurutnya, dari sudut kesiapsiagaan sistem, pelaksanaan awal menunjukkan integrasi pengesahan MyKad di terminal pembayaran berjalan dengan agak lancar.

“Namun begitu, PDAM melihat bahawa di peringkat pelanggan dan operasi harian stesen, kita masih berada dalam fasa pendidikan dan penyesuaian. Masih terdapat pengguna yang kurang jelas mengenai kelayakan, jenis kenderaan yang dibenarkan, kuota subsidi dan kaedah pembelian diesel bersubsidi.

“PDAM juga menjangkakan perhatian lebih besar akan tertumpu kepada Sabah dan Sarawak, memandangkan pelaksanaan SKDS 2.0 dan Budi Diesel berlaku serentak di kedua-dua negeri tersebut,” ujarnya,

PDAM meramalkan, pihak stesen, pelanggan tempatan, pengguna komersial dan pengguna bukan warganegara memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan kaedah pembelian baharu, khususnya apabila pengguna yang tidak layak perlu membayar harga pasaran.

Dalam hal itu, PDAM berharap pihak berkuasa dapat memberi sokongan penuh sepanjang minggu pertama pelaksanaan, bukan sahaja dari segi penguatkuasaan tetapi juga dari segi komunikasi awam dan pendidikan pengguna.

“Pihak stesen minyak tidak seharusnya dibiarkan bersendirian sebagai barisan hadapan untuk menjelaskan dasar subsidi kepada pelanggan, terutamanya apabila berlaku kekeliruan atau pertikaian di kawasan pam.

“PDAM turut mengambil maklum bahawa syarikat minyak telah menyediakan latihan awal kepada wakil-wakil stesen melalui manual penggunaan, panduan operasi dan soalan-soalan lazim.

“Bagaimanapun, pelaksanaan dasar berskala besar seperti ini tetap memerlukan sokongan komunikasi berterusan daripada kerajaan, syarikat minyak dan agensi pelaksana supaya maklumat yang sampai kepada pengguna adalah jelas, konsisten dan mudah difahami,” katanya lagi.

Dari sudut pengurusan dua jenis diesel, iaitu B7 pada harga pasaran dan B10/B15 yang layak menerima subsidi RM2.10 seliter, PDAM berpandangan bahawa perkara itu tidak menimbulkan cabaran operasi yang luar biasa kepada pengusaha stesen.

Jelasnya, sistem jualan dan pam sedia ada telah lama menguruskan produk pada harga berbeza, seperti RON95 bersubsidi dan RON97 pada harga pasaran tetapi komunikasi kepada pelanggan perlu diperkukuh supaya pengguna memahami perbezaan kelayakan subsidi mengikut produk dan kategori pengguna.

Pada Selasa, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kira-kira 700,000 pemilik kenderaan persendirian di seluruh negara bakal menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menerusi pelaksanaan Budi Diesel bermula hari ini.

Pelaksanaan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia serta 300,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Selain itu, kira-kira 70,000 kenderaan komersial dan pengangkutan barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kini layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter di bawah SKDS 2.0.

 

Scroll to Top