Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Semantan Estate (1952) Sdn Bhd (SESB) untuk menangguhkan prosiding bagi menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar kerajaan berhubung pengambilan tanah seluas 263.272 ekar (106.542 hektar) di Mukim Batu, dikenali sebagai Enklaf Duta.
Hakim Roslan Mat Nor ketika membuat keputusan itu berkata kes berkenaan sepatutnya sudah berada di peringkat akhir bagi pentaksiran ganti rugi seperti yang diperintahkan Mahkamah Rayuan.
Beliau berkata mahkamah turut mengambil kira hujahan pihak defendan bahawa penangguhan prosiding akan menyebabkan prejudis kepada kerajaan.
“Mahkamah Rayuan sebelum ini telah memerintahkan faedah dibayar pada kadar enam peratus setahun bermula 1956 sehingga tarikh pampasan diselesaikan.
“Justeru, setelah mempertimbangkan alasan-alasan yang dikemukakan, mahkamah berpendapat permohonan untuk menggantung prosiding ini ditolak tanpa sebarang perintah kos,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan pendengaran berhubung pentaksiran ganti rugi pada 14 dan 21 Ogos serta 1 September ini.
Pada 18 Mei lepas, SESB memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding sehingga rayuannya bagi mendapatkan beberapa dokumen, termasuk pelan pengambilan tanah antara 1956 hingga 1960, diputuskan Mahkamah Rayuan.
Dokumen itu dikatakan diperlukan bagi membantu menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar kerajaan berhubung pemilikan tanah Enklaf Duta.
Roslan berkata walaupun bidang kuasa mahkamah adalah untuk menentukan sama ada permohonan penangguhan wajar dibenarkan atau sebaliknya, ia tetap perlu mengambil kira prinsip keadilan kepada semua pihak.
“Mahkamah berpendapat tidak wajar mempertimbangkan siapa pihak-pihak yang terbabit dalam kes ini. Apa yang penting ialah keputusan dibuat berdasarkan prinsip undang-undang berkaitan penangguhan prosiding,” katanya.
Prosiding itu dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan yang mewakili kerajaan selaku defendan, manakala peguam Ira Biswas mewakili Semantan Estate.
Pada 13 November 2025, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Semantan Estate untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan tanah seluas 263.272 ekar di Enklaf Duta atas nama syarikat itu.
Susulan itu, keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kerajaan kekal berkuat kuasa selepas syarikat berkenaan gagal memperoleh kebenaran untuk membawa rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Kes berkenaan kemudian dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk prosiding pentaksiran ganti rugi.
Pada 24 Jun 2025, Mahkamah Rayuan memutuskan Semantan Estate tidak berhak terhadap hak milik tanah berkenaan, namun syarikat itu layak menerima pampasan sewajarnya berdasarkan nilai tanah pada 1956, iaitu ketika ia diambil alih kerajaan.
Tanah yang menjadi pertikaian itu terletak di kawasan strategik Jalan Duta, dikenali sebagai Enklaf Duta, yang kini menempatkan beberapa bangunan kerajaan termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
© New Straits Times Press (M) Bhd




