Vancouver: Perjalanan Sweden pada kempen Piala Dunia 2026 berakhir di tangan antara calon juara, Perancis, namun skuad kendalian Graham Potter dilihat mempunyai asas kukuh untuk kembali mencabar pada masa depan.
Kekalahan kepada pasukan yang diterajui Kylian Mbappe itu sememangnya dijangka, memandangkan Sweden masih bergelut membentuk barisan pertahanan yang benar-benar mantap untuk mengekang jentera serangan bertaraf dunia.
Walaupun tersingkir pada pusingan 32 terbaik, Potter berjaya mengubah haluan pasukan yang sebelum ini berdepan kempen kelayakan cukup mengecewakan.
Pada Oktober tahun lalu, Sweden berada di kedudukan tercorot kumpulan kelayakan Piala Dunia dengan hanya mengutip satu mata daripada empat perlawanan, sekali gus memaksa Persekutuan Bolasepak Sweden memecat Jon Dahl Tomasson.
Potter, yang sebelum itu meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris, West Ham United, dilantik bagi menyelamatkan kempen Sweden dan berjaya membawa pasukan itu ke pusingan akhir menerusi aksi kelayakan serta playoff.
Kemenangan ke atas Ukraine dan Portugal dalam playoff, diikuti kejayaan membelasah Tunisia 5-1 pada aksi pembukaan peringkat kumpulan, mengembalikan keyakinan penyokong Sweden.
Bagaimanapun, kelemahan di benteng pertahanan terus menghantui mereka apabila dibelasah Belanda 5-1 sebelum sekadar seri dengan Jepun.
Cabaran Sweden akhirnya berakhir selepas mereka gagal menandingi kehebatan Perancis yang tampil dengan jentera serangan paling berbisa di kejohanan.
Sepanjang tempoh singkat mengendalikan Sweden, Potter dilihat berjaya membentuk hubungan baik dengan pemain selain memahami budaya bola sepak negara itu hasil pengalamannya bersama kelab Ostersunds.
Beliau juga dijangka menerima suntikan besar apabila tonggak utama, Dejan Kulusevski, kembali pulih daripada kecederaan lutut yang menyaksikannya berehat lebih setahun.
Selain Kulusevski, Sweden turut memiliki beberapa bakat muda seperti Williot Swedberg dan Roony Bardghji yang mampu memperkukuhkan pasukan pada masa depan.
Namun, tugas utama Potter adalah membina semula benteng pertahanan yang sekian lama menjadi identiti Sweden.
Walaupun tidak berdepan masalah di jentera serangan, beliau masih memerlukan kemunculan pemain pertahanan berkualiti jika mahu mengembalikan Sweden sebagai pencabar yang mampu memberi tentangan sengit kepada pasukan elit dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




