am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila memukul dan menumbuk seorang pekerja warga asing di sebuah kedai mencuci kenderaan di Taman Kiara, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima maklumat video pergaduhan yang tular di Facebook itu jam 1.30 tengah hari ini.
“Hasil siasatan awal mendapati seorang lelaki menaiki kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux memukul seorang pekerja warga India menggunakan kon serta menumbuknya beberapa kali.
“Punca kejadian adalah disebabkan suspek berasa marah terhadap mangsa yang dikatakan bersikap kurang ajar semasa urusan pembayaran mencuci kenderaannya,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Azaharudin berkata, susulan kejadian polis menahan empat individu iaitu suspek, pemilik premis mencuci kenderaan yang disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit dan dua pekerja warga asing.
Katanya, pekerja terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)C Akta Imigresen 1959/63.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




