ATLANTA: Kapten England, Harry Kane sekali lagi membuktikan statusnya sebagai pemain paling berpengaruh dalam skuad The Three Lions apabila meledak dua gol penting untuk membantu pasukannya bangkit menewaskan Democratic Republic (DR) Congo 2-1 dalam aksi dramatik Piala Dunia, sebentar tadi.
Ketika England dilihat semakin hampir dikejutkan oleh pasukan Afrika itu, Kane tampil sebagai penyelamat dengan dua jaringan lewat permainan yang memastikan anak buah Thomas Tuchel mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik.
DR Congo memulakan perlawanan dengan cukup garang apabila mengejutkan lawan menerusi jaringan awal Brian Cipenga seawal minit ketujuh.
Pemain sayap itu mengambil kesempatan terhadap kelonggaran benteng England sebelum melepaskan rembatan rendah yang gagal diselamatkan penjaga gol, Jordan Pickford.
Tersentak dengan jaringan tersebut, England meningkatkan tekanan dan menguasai sebahagian besar permainan, namun ketumpulan penyudah serta aksi cemerlang penjaga gol DR Congo, Lionel Mpasi, menyebabkan mereka terus buntu mencari gol penyamaan.
Mpasi beberapa kali menjadi penghalang utama apabila menafikan percubaan berbahaya daripada Jude Bellingham dan Kane, manakala pertahanan berpengalaman, Aaron Wan-Bissaka, turut bertindak cemerlang menyekat cubaan Marcus Rashford yang hampir menghasilkan gol.
DR Congo hampir menggandakan kelebihan sebelum rehat menerusi Yoane Wissa, namun percubaannya dari jarak dekat hanya singgah di tiang gol.
Selepas gagal menembusi benteng lawan hampir sepanjang perlawanan, England akhirnya menemui jalan keluar menerusi Kane yang menyamakan kedudukan pada minit ke-75 untuk menghidupkan semula harapan pasukannya.
Ketika perlawanan dilihat menuju masa tambahan, Kane sekali lagi muncul wira apabila bijak melepaskan diri daripada kawalan pertahanan lawan sebelum menanduk masuk hantaran silang tepat daripada Anthony Gordon pada minit ke-86.
Kemenangan penuh dramatik itu memastikan England terus menghidupkan impian memburu gelaran dunia, namun persembahan mereka jelas menunjukkan masih banyak aspek yang perlu diperbaiki menjelang aksi pusingan 16 terbaik menentang Mexico di Stadium Azteca, Isnin ini.
Bagi Kane pula, dua jaringan tersebut sekali lagi mengukuhkan reputasinya sebagai pemain yang sentiasa hadir ketika pasukan memerlukan sentuhan penyudah paling penting.-AGENSI




