razis@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Bukan raih simpati, tetapi kami sudah berniaga cendol sebelum kehilangan kaki akibat kemalangan jalan raya tiga tahun lalu,” kata Nik Haziera Saffiya Nik Husmadi, 18, yang tular bersama kakaknya Nik Haznita Saffiya, 20, gigih berniaga cendol walaupun masing-masing tanpa kaki kanan.
Kegigihan dua beradik dari Kampung Seri Lebak, Temerloh, Pahang itu meraih perhatian dan memberi inspirasi kepada orang ramai selepas video mereka berniaga tular di media sosial.
Nik Haziera berkata, mereka sebenarnya mula berniaga cendol sejak 2023, namun terpaksa berhenti seketika selepas terbabit dalam kemalangan sebelum kembali berniaga kira-kira sebulan lalu.
Katanya, dalam kejadian pada Februari 2024, motosikal yang ditunggang bersama kakaknya terbabit dalam kemalangan dengan lori sehingga mereka mengalami kecederaan parah.
“Kaki kanan Angah (kakak) terpaksa dipotong sejurus selepas kemalangan kerana kecederaan serius. Manakala saya pula, doktor cuba selamatkan kaki dengan memasang besi selama hampir setahun.
“Bagaimanapun, selepas menjalani rawatan, doktor maklumkan kaki saya juga tidak dapat diselamatkan,” katanya.
Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, walaupun sukar menerima hakikat itu, dia reda kerana menyedari keadaan kakinya tidak lagi mampu berfungsi seperti biasa.
“Saya fikir, kalau kaki dipotong mungkin saya boleh bergerak dan menjalani kehidupan dengan lebih baik berbanding hidup terlantar,” katanya.
Menurutnya, cabaran terbesar selepas bergelar orang kurang upaya (OKU) adalah menyesuaikan diri ketika berniaga kerana perlu berdiri lama selain pergerakan terbatas.
“Kalau pelanggan ramai, memang agak penat. Berdiri lama menyebabkan kaki cepat lenguh dan pergerakan pun tidak sepantas dahulu.
“Sebenarnya, kami ada kaki palsu, namun kurang selesa menggunakannya kerana ia mengehadkan pergerakan. Kalau nak cepat, memang kami lebih selesa melompat atau menggunakan tongkat,” katanya kepada Harian Metro.
Katanya, ketika mula berniaga ada yang terkejut apabila melihat keadaan mereka terutama pelanggan pandu lalu yang hanya menyedari mereka OKU selepas keluar dari kenderaan.
“Apabila kami beritahu tidak dapat menghantar pesanan ke kereta, mereka turun dan terkejut lihat keadaan kami.
“Alhamdulillah, kebanyakan pelanggan sangat memahami dan sentiasa memberi sokongan kepada kami,” katanya.
Dia mengakui, video mereka berniaga yang tular di media sosial turut membuka rezeki apabila menerima sokongan luar biasa daripada orang ramai.
“Ramai datang membeli cendol selepas melihat video kami. Kami juga selalu membuat siaran langsung di TikTok dan menerima banyak kata-kata semangat.
“Memang ada komen negatif kononnya kami meraih simpati, namun kami tidak mahu terlalu memikirkannya. Kami memilih untuk terus kekal positif,” katanya.
Ditanya perancangan masa hadapan, Nik Haziera berhasrat mengembangkan perniagaan dengan menyediakan meja supaya lebih ramai pelanggan boleh datang menikmati cendol.
Nik Haziera turut menitipkan pesanan kepada mereka yang berdepan ujian hidup supaya tidak mudah berputus asa.
“Kalau ada sesuatu yang kita tidak boleh buat, cuba cari jalan lain. Jangan terlalu fikir apa yang sudah berlaku kerana itu hanya akan membuatkan kita terus sedih,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




