BUDI Diesel automatik kurangkan ketirisan subsidi di sempadan – Fuziah

BUDI Diesel automatik kurangkan ketirisan subsidi di sempadan – Fuziah

JOHOR BAHRU – Pelaksanaan secara automatik BUDI Madani Diesel (BUDI Diesel) bermula pada Rabu, diyakini mampu membendung ketirisan subsidi diesel di kawasan sempadan negara khususnya di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, sebelum ini pemberian subsidi diesel di Sabah dan Sarawak diberikan secara pukal.

Katanya pendekatan baharu itu memastikan hanya pemilik kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dalam sistem BUDI Diesel layak membeli diesel pada harga bersubsidi RM2.10 seliter.

“Kalau sebelum ini, BUDI Diesel Individu sebanyak 180,000 bantuan tunai telah mendaftar, tetapi kali ini ia secara automatik. 

“Maksudnya di seluruh Semenanjung, ada 400,000 kenderaan berdaftar, kenderaan milik individu berdaftar menggunakan diesel. Di Sabah dan Sarawak ada 300,000 kenderaan berdaftar. Sebelum ini, Sabah dan Sarawak menerima harga subsidi secara pukal. 

“Namun sekarang hanya kenderaan yang berdaftar untuk individu akan menerima subsidi, harga diesel bersubsidi dengan kadar harga RM2.10 per liter. Jadi, ini secara tidak langsung akan membendung ketirisan di sempadan terutamanya di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas tinjauan pelaksanaan mekanisme bantuan Budi Madani Diesel di Stesen Petronas Bandar Dato’ Onn di sini pada Khamis.

Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo.

Pada Selasa lalu, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kira-kira 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di seluruh negara menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menerusi pelaksanaan BUDI Diesel yang bermula pada 1 Julai.

Daripada jumlah itu, kira-kira 400,000 pemilik kenderaan berada di Semenanjung Malaysia, manakala 300,000 lagi melibatkan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pelaksanaan berkenaan merupakan peluasan ketara berbanding BUDI Diesel Individu sebelum ini yang hanya melibatkan kira-kira 180,000 penerima bantuan tunai bulanan di Semenanjung Malaysia bagi menampung sebahagian kos pembelian diesel pada harga pasaran.

Scroll to Top