Kisah bekas kekasih mata duitan Saibari kembali tular

Kisah bekas kekasih mata duitan Saibari kembali tular

London: Pemain tengah menyerang Maghribi, Ismael Saibari kini mendominasi tajuk utama selepas sepakan penalti bersejarahnya yang membawa negara itu ke peringkat kalah mati Piala Dunia 2026.

Ketika rasa ingin tahu meningkat mengenai kehidupan peribadi pemain berusia 25 tahun itu, peminat mula menggali kehidupan peribadinya terutamanya selepas satu cerita tular mengenai bekas kekasihnya sekali lagi menguasai media sosial.

Kisah popular yang tersebar mendakwa Saibari pernah mempunyai seorang teman wanita yang dikatakan meninggalkannya kerana dia ‘tidak mampu’ menampung gaya hidup wanita terbabit ketika bermain di PSV Eindhoven sebelum wanita itu didakwa kembali merayu selepas perpindahan lumayan ke Bayern Munich.

Catatan yang berlegar di media sosial mendakwa Saibari mempunyai seorang teman wanita ketika tempoh kontrak tiga tahun di PSV Eindhoven sebelum dia dinaikkan ke skuad senior pada 2023.

Namun, hubungan itu tidak bertahan didakwa kerana gaji yang dilaporkan ketika di PSV Eindhoven tidak mencukupi untuk menampung gaya hidup teman wanitanya ketika itu.

Ketika bersama PSV, pendapatan mingguan Saibari dianggarkan sekitar €19,200 (RM91,400) dan menurut cerita terbabit, ia tidak mencukupi untuk bekas teman wanitanya.

Namun, keadaan berubah selepas dia dikaitkan dengan perpindahan besar ke Bayern Munich yang secara signifikan meningkatkan profilnya.

Selepas mengetahui Saibari memperoleh potensi perpindahan bernilai €55 juta (RM256 juta) ke Bayern Munich, bekas teman wanitanya didakwa merayu untuk kembali kepadanya.

Cerita itu mendakwa wanita terbabit membanjiri mesej peribadi pemain itu dengan mesej permohonan maaf, yang akhirnya mendorong Saibari untuk mendedahkan tangkap layar mesej lama ‘kamu tidak mampu menanggung saya’ bersama cubaan baharu wanita itu untuk berhubung semula.

Walaupun kisah kebangkitan itu meraih jutaan tontonan dalam talian dengan peminat menyambutnya sebagai ‘balas dendam sempurna’ sebenarnya tiada bukti kukuh bahawa cerita itu benar-benar berlaku.

Tiada tangkap layar yang disahkan, tiada temu bual atau laporan sahih yang menyokong mana-mana bahagian naratif terbabit.

Setakat ini, Saibari tidak pernah mengesahkan secara terbuka sama ada beliau mempunyai teman wanita, isteri atau tunang.

Bintang Maghribi itu kebanyakannya menjaga kehidupan peribadinya daripada perhatian umum, jarang berkongsi apa-apa mengenai keluarga atau hubungan dalam temu bual atau media sosial.

Profil awamnya hampir sepenuhnya tertumpu kepada bola sepak, malah sehingga kini, tanpa pengesahan daripada Saibari atau laporan yang boleh dipercayai, identiti mana-mana pasangan semasa atau bekas pasangan masih tidak diketahui.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top