Wanita UK dakwa dijangkiti cacing pita selepas pulang dari India, 38 parasit ditemui dalam otak

Wanita UK dakwa dijangkiti cacing pita selepas pulang dari India, 38 parasit ditemui dalam otak

LONDON — Seorang wanita dari United Kingdom mendakwa kehidupannya berubah secara drastik selepas lawatan ke India pada tahun 2007, apabila beliau kemudian disahkan mengalami jangkitan parasit serius termasuk cacing pita sepanjang kira-kira satu meter serta 38 parasit di dalam otaknya.

Lowri Denman, 42, berkongsi pengalaman itu menerusi sebuah audio siar, di mana beliau menceritakan perjalanan panjang masalah kesihatan yang bermula bertahun-tahun selepas perjalanan berkenaan.

Menurutnya, beberapa tahun selepas pulang ke negara asal, beliau mendakwa secara tidak dijangka menemui cacing pita sepanjang kira-kira satu meter ketika berada di tandas sebuah restoran, sebelum mendapatkan rawatan perubatan.

Walaupun menjalani pemeriksaan awal, ujian najis dilaporkan tidak menunjukkan sebarang masalah dan beliau kembali menjalani rutin harian kerana tidak mengalami simptom pada peringkat awal.

Namun keadaan kesihatannya mula merosot dalam tempoh tahun berikutnya apabila beliau mengalami sakit kepala teruk, kesukaran bercakap, sebelum pengsan dan dirawat di hospital.

Hasil imbasan otak kemudian menunjukkan kehadiran 38 parasit di dalam otaknya, yang mengejutkan beliau dan keluarganya.

Pada awalnya, doktor mengesyaki toxoplasmosis, namun selepas keluarga mengaitkan semula sejarah cacing pita yang ditemui sebelum ini, pakar kemudian mendiagnosis neurocysticercosis, iaitu jangkitan parasit yang menjejaskan sistem saraf pusat.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), neurocysticercosis berlaku apabila larva cacing pita babi menjangkiti sistem saraf manusia, biasanya melalui makanan atau air tercemar atau daging tidak dimasak dengan sempurna.

Seorang pakar penyakit berjangkit dilaporkan berpendapat pesakit berkemungkinan tertelan telur parasit tanpa disedari semasa lawatan ke India, yang kemudian berkembang dalam tubuhnya.

Walaupun rawatan awal menggunakan ubat antiparasit dan steroid diberikan, keadaan Denman dilaporkan kembali merosot apabila beliau mengalami pembengkakan otak serta simptom neurologi yang semakin teruk.

Beliau turut mengalami gangguan seperti kebas, kekeliruan, paranoia dan serangan panik sehingga menjejaskan kehidupan harian serta memerlukan penjagaan keluarga.

“Semua ini mula menjadi sangat teruk… saya mengalami kebimbangan dan serangan panik,” katanya.

Rakannya turut menggambarkan perubahan ketara tingkah lakunya sehingga kelihatan seperti kanak-kanak dalam tempoh sakit tersebut.

Walaupun berdepan cabaran besar, Denman akhirnya beransur pulih selepas beberapa tahun apabila parasit tersebut mati dan menjadi kalsifikasi dalam otaknya.

Beliau berkata masih mengambil ubat epilepsi, namun tidak mengalami sawan sejak 2017 dan berharap kisahnya dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit tersebut. – Agensi

Scroll to Top