Brazil terima tamparan hilang khidmat Paqueta

Brazil terima tamparan hilang khidmat Paqueta

Morristown: Brazil menerima tamparan menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia menentang Norway, Isnin ini apabila pemain tengah, Lucas Paqueta disahkan terlepas perlawanan akibat kecederaan hamstring.

Menurut sumber dalam Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF), Paqueta juga dijangka tidak akan beraksi lagi dalam kejohanan ini kecuali Brazil mara ke final yang dijadual berlangsung pada 19 Julai di Stadium MetLife, East Rutherford.

Paqueta, yang membentuk gandingan bersama Casemiro dan Bruno Guimaraes di bahagian tengah, mengalami kecederaan itu ketika Brazil mencatat kemenangan dramatik 2-1 ke atas Jepun di Houston, Selasa lalu.

Pemain itu kini sedang menjalani rawatan intensif dan menjadi satu-satunya pemain yang sah tidak dapat diturunkan oleh jurulatih, Carlo Ancelotti menjelang pertemuan dengan Norway yang diketuai penyerang sensasi, Erling Haaland.

Ancelotti mempunyai beberapa pilihan untuk mengisi kekosongan itu, sama ada mengekalkan formasi sedia ada dengan menurunkan Danilo Santos atau mengubah pendekatan lebih menyerang menerusi kemasukan Endrick atau Gabriel Martinelli.

Sementara itu, penyerang Barcelona, Raphinha, yang diketepikan sejak mengalami kecederaan paha ketika aksi kedua peringkat kumpulan menentang Haiti, sudah kembali menjalani latihan secara individu.

Jika proses pemulihannya berjalan lancar, dia berpeluang disenaraikan di bangku simpanan bagi aksi menentang Norway.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top