PETALING JAYA: Pelakon, Nora Danish mengakui bimbang akan melukakan hati individu yang benar-benar mencintainya dalam proses mencari pasangan yang tepat.
Menerusi perkongsian di Threads, Nora berkata dia sering memikirkan kemungkinan dirinya secara tidak sengaja menyakiti perasaan orang lain sebelum akhirnya bertemu cinta sejati.
“Kadang-kadang saya tertanya-tanya, berapa banyak hati yang mungkin saya lukakan tanpa sengaja sebelum akhirnya menemui cinta sejati.
“Saya tidak mahu terus bertemu dengan orang-orang yang baik, hanya untuk akhirnya menyedari bahawa mereka bukanlah orang yang ditakdirkan untuk saya,” katanya.
Dalam hantaran sama, pelakon drama Puteri itu mengakui perkara yang paling ditakutinya mengenai cinta bukanlah kemungkinan dirinya disakiti, sebaliknya menjadi punca individu yang ikhlas menyayanginya terluka.
“Mungkin itulah perkara yang paling menakutkan saya tentang cinta, bukan takut diri sendiri disakiti, tetapi takut melukakan seseorang yang benar-benar mencintai saya,” luahnya.
Bagaimanapun, Nora tidak menjelaskan sama ada perkongsian tersebut mempunyai kaitan dengan kehidupan peribadinya ketika ini atau sekadar luahan mengenai pandangannya terhadap soal cinta.

