SAFA belum putuskan nasib Broos

SAFA belum putuskan nasib Broos

Johannesburg: Masa depan Hugo Broos bersama skuad kebangsaan Afrika Selatan masih belum diputuskan selepas pasukan itu tersingkir pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia di tangan tuan rumah bersama, Kanada.

Presiden Persatuan Bolasepak Afrika Selatan (SAFA), Danny Jordaan, enggan mengulas lanjut mengenai kedudukan jurulatih berusia 74 tahun itu ketika skuad Bafana Bafana tiba di Johannesburg, semalam.

Broos sebelum ini mengumumkan hasrat untuk bersara selepas Piala Dunia, namun mengubah pendiriannya selepas berjaya membawa Afrika Selatan mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam sejarah.

Kontraknya akan berakhir hujung bulan ini selepas lima tahun membimbing pasukan, namun kedua-dua pihak dilihat terbuka untuk meneruskan kerjasama.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih secara peribadi kepada Hugo Broos dan barisan kejurulatihannya yang bekerja siang dan malam.

“Kami akan menilai prestasi pasukan di kejohanan ini, berbincang mengenainya dan kemudian memaklumkan kepada media mengenai fasa seterusnya bola sepak Afrika Selatan.

“Kami berharap momentum peningkatan ini dapat diteruskan.

“Kami perlu berbincang dengan Hugo Broos terlebih dahulu dan selepas itu kami akan memaklumkan mengenai hala tuju seterusnya. Perbincangan itu bersifat sulit dan peribadi,” kata Jordaan.

Beliau turut berharap aksi cemerlang Afrika Selatan di Piala Dunia membuka peluang kepada lebih ramai pemain tempatan untuk beraksi bersama kelab luar negara.

“Kami berharap beberapa pemain akan mendapat kontrak di luar negara dan selepas itu kami perlu membina sebuah pasukan yang mampu bersaing sekali lagi pada Piala Dunia 2030,” katanya.

Afrika Selatan akan kembali beraksi pada September ini apabila memulakan kempen kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2027 yang akan dianjurkan bersama oleh Kenya, Uganda dan Tanzania.

Mereka diundi bersama Kenya, Guinea dan Eritrea dalam saingan kumpulan kelayakan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top