Ozil terus menang di luar padang

Ozil terus menang di luar padang

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jika dahulu beliau disanjung tinggi sebagai ‘Raja Umpanan’, bekas maestro Real Madrid dan Arsenal, Mesut Ozil yang kini berusia 37 tahun sedang melakar transformasi kehidupan paling luar biasa di luar padang.

Menolak tepi peranan konvensional sebagai penganalisis sukan, beliau sebaliknya terus melonjak sebagai usahawan global, perunding sukan peringkat tinggi serta ahli politik berkaliber bersama parti pemerintah Turkiye (AKP).

Status kewangannya juga bukan calang-calang apabila selesa bergelar jutawan dengan kekayaan dianggarkan mencecah RM565 juta hasil empayar jenama fesyen M10 Streetwear, rantaian kedai kopi premium, penjagaan kulit UNITY, serta pemilikan saham kelab Mexico, Club Necaxa.

Menariknya, auranya sempat mencetuskan fenomena di Malaysia pada April lalu apabila beliau hadir ke Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang bagi menghadiri USM International Leadership Summit 2026 sambil menitipkan nasihat emas mengenai kepentingan pelaburan akar umbi bola sepak tempatan.

Malah, pemenang Piala Dunia 2014 ini turut menjadi bualan hangat global ekoran transformasi fizikalnya yang kini tampil sangat sasa dan berotot, lantas mengundang pujian daripada bekas pengurusnya, Jose Mourinho serta Cristiano Ronaldo.

Mengimbau reputasi gahnya di pentas antarabangsa, perancang genius yang merekodkan 23 gol daripada 92 penampilan ini selamanya diangkat sebagai watak utama yang memimpin era keemasan skuad kebangsaan Jerman.

Di peringkat kelab pula, magis rembatan melantun dan hantaran tanpa melihatnya sentiasa memukau, terutamanya memori jaringan solo ajaib yang memperkotak-katikkan pertahanan Ludogorets pada kempen Liga Juara-Juara (UCL) 2016.

Namun di sebalik kehebatannya, beliau dikenali sebagai individu tegas yang sanggup bersara dari skuad kebangsaan angkara isu rasisme, selain lantang mempertahankan hak asasi masyarakat Uyghur sehingga mencetuskan kejatuhan kariernya di Arsenal.

Bagaimanapun, kemuliaan hatinya tidak pernah dipersoalkan apabila beliau sanggup membiayai pembedahan kritikal 1,000 kanak-kanak miskin dan menaja makanan buat 100,000 pelarian sempena hari perkahwinannya dengan bekas Miss Turkiye, Amine Gulse pada 2019.

Kini, di sebalik kesibukan portfolio politik dan pentadbiran korporatnya, wira berketurunan Turkiye ini terus giat memantau pembinaan akademi bola sepak miliknya bernilai jutaan ringgit di Istanbul yang dijadualkan beroperasi menjelang 2027.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top