TERNATE: Gempa bumi berukuran 6.2 magnitud menggegarkan kawasan luar pesisir timur Indonesia pada Jumaat, namun tiada laporan awal mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan.
Menurut Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu berlaku pada kedalaman 120 kilometer, kira-kira 58 kilometer di barat Tobelo, wilayah Maluku Utara, pada pukul 11.31 pagi (waktu tempatan).
Seorang penduduk Ternate, Umar Abbas berkata, beliau sedang menikmati kopi di sebuah gerai ketika gegaran berlaku.
“Saya sedang duduk minum kopi di sebuah gerai di tepi jalan apabila kerusi saya tiba-tiba bergoyang. Saya panik seketika kerana masih trauma dengan kejadian gempa bumi yang lalu,” katanya kepada AFP.
Ternate terletak kira-kira 114 kilometer dari pusat gempa.
Sementara itu, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) memaklumkan gempa berkenaan tidak mencetuskan ancaman tsunami.
Indonesia serta negara-negara jirannya kerap dilanda gempa bumi kerana terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik iaitu zon aktiviti seismik aktif yang membentang dari Jepun, merentasi Asia Tenggara hingga ke Lembangan Pasifik.-AFP




