Kuala Lumpur: Aktiviti mengemis membabitkan warga asing, terutamanya melibatkan kanak-kanak berpotensi mempunyai elemen terancang dan terkait dengan sindiket, demikian maklum Kementerian Dalam Negeri (KDN).
KDN memaklumkan sepanjang 2025 hingga 31 Mei lepas, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan 836 operasi penguatkuasaan di sekitar Kuala Lumpur melibatkan pemeriksaan terhadap 10,609 orang dan daripada jumlah itu, 5,411 warga asing telah ditangkap atas pelbagai kesalahan Imigresen, termasuk 42 orang dikenal pasti terlibat dalam aktiviti mengemis.
“Siasatan turut dijalankan terhadap pihak tempatan yang disyaki bertindak sebagai pelindung, penganjur atau penerima manfaat kewangan daripada aktiviti berkenaan.
“Kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau sebarang bentuk eksploitasi yang boleh menjejaskan imej dan reputasi negara,” menurut KDN dalam jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen.
Kementerian itu menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang ingin tahu keberkesanan operasi penguatkuasaan JIM terhadap kegiatan mengemis oleh warga asing, termasuk melibatkan kanak-kanak di kawasan tumpuan pelancong seperti Bukit Bintang Jalan Alor dan Changkat Bukit Bintang, serta langkah-langkah baharu bagi mengenal pasti dan membanteras sindiket yang mengeksploitasi golongan tersebut.
Bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan, JIM meningkatkan operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selain memperkasa perkongsian maklumat risikan dan analisis bagi mengenal pasti rangkaian sindiket, modus operandi serta lokasi tumpuan aktiviti mengemis.
Menurut KDN, JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut terlibat secara aktif dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan dan Pasukan KL Strike Force bersama PDRM, DBKL, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta agensi penguatkuasaan lain.
Melalui KL Strike Force, agensi terlibat mengenal pasti dan memantau lokasi panas aktiviti mengemis dan gelandangan, melaksanakan operasi bersepadu secara berkala dan tidak berjadual, mempercepatkan perkongsian maklumat risikan dan aduan awam, selain menjalankan pemantauan berterusan bagi mengelakkan aktiviti itu berulang.
“Pendekatan bersepadu bersama PDRM, DBKL dan agensi berkaitan akan terus diperkasakan bagi membanteras sindiket pengemis warga asing secara tegas, menyeluruh dan berterusan demi memelihara keselamatan awam serta imej negara,” menurut kementerian itu.
Sementara itu, KDN memaklumkan sebanyak 314 majikan telah dipertimbang dan diberikan syor kuota penggajian pekerja asing daripada 1,919 permohonan yang diterima sepanjang tempoh khas permohonan bermula 19 Jan hingga 31 Mac lepas.
Menurut kementerian itu, tempoh khas berkenaan diperkenalkan untuk membantu majikan yang tidak dapat mengemukakan permohonan sebelum tarikh akhir 31 Dis 2025 bagi mendapatkan kuota penggajian pekerja asing mengikut ketetapan siling kuota tahun 2025.
“Seterusnya, majikan yang memperoleh syor tersebut sedang menunggu pertimbangan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) bagi mendapatkan kelulusan awal menggajikan pekerja asing di bawah Seksyen 60(K) Akta Kerja 1955 (Akta 265),” menurut kementerian itu.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang bertanyakaan mengenai jumlah kuota untuk menggaji pekerja asing yang telah diluluskan dalam tempoh 19 Jan hingga 31 Mac lepas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




