Pas perlu jelaskan pendirian isu tapak rumah ibadat bukan Islam

Pas perlu jelaskan pendirian isu tapak rumah ibadat bukan Islam

PETALING JAYA: Kepimpinan Pas digesa menjelaskan sama ada kenyataan yang dibuat Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berhubung dasar penyediaan tapak rumah ibadat bukan Islam di Selangor merupakan pendirian rasmi parti atau sekadar pandangan peribadi.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS) Selangor, Papparaidu Veraman berkata, perkara itu wajar diperjelaskan kerana rakyat berhak mengetahui pendirian sebenar Pas mengenai isu berkenaan.

Menurutnya, sekiranya kenyataan tersebut hanya mencerminkan pandangan individu, kepimpinan parti perlu menyatakan pendirian rasmi dengan jelas.

“Jika tiada penjelasan atau pembetulan dibuat, orang ramai berhak membuat kesimpulan sendiri sama ada kenyataan itu mencerminkan pendirian Pas secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau dipercayai merujuk kepada kenyataan Ahmad Fadhli yang sebelum ini mempertikaikan dasar Kerajaan Selangor mewajibkan pemaju menyediakan tapak bagi rumah ibadat bukan Islam dalam pembangunan baharu tertentu.

Papparaidu berkata, Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum dan agama yang perlu terus dipimpin berlandaskan prinsip keadilan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Madani komited memastikan setiap rakyat dilayan secara adil tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau turut menjelaskan bahawa dasar perancangan Kerajaan Selangor yang memperuntukkan tanah bagi rumah ibadat bukan Islam dalam pembangunan baharu mengambil kira keperluan semua komuniti.

Katanya, dasar itu bukan bertujuan memberi kelebihan kepada mana-mana pihak, sebaliknya bagi memupuk keharmonian, memastikan pembangunan yang tersusun serta mengelakkan pertikaian pada masa hadapan.

“Malaysia memerlukan pemimpin yang menyatukan rakyat, bukannya mereka yang cuba meraih keuntungan politik dengan mengeksploitasi perbezaan kaum dan agama.

“Kita mesti terus mempertahankan nilai saling menghormati, hidup bersama secara aman dan menegakkan keadilan untuk setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi di Johor, Negeri Sembilan dan seluruh negara supaya menilai bukan sahaja kenyataan yang dibuat pemimpin politik, malah sama ada parti masing-masing bersedia mempertahankan perpaduan atau memilih untuk berdiam diri apabila timbul kenyataan yang berpotensi mengeruhkan hubungan kaum dan agama.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebarang isu yang timbul berkaitan perkara berkenaan perlu ditangani secara bertanggungjawab dan disiasat oleh pihak berkuasa mengikut undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa. – UTUSAN

Scroll to Top