Mahrez umum persaraan

Mahrez umum persaraan

Vancouver: Riyad Mahrez mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa selepas Algeria tewas 0-2 kepada Switzerland pada aksi Piala Dunia.

Jaringan Breel Embolo dan Dan Ndoye, masing-masing pada setiap babak sudah memadai untuk menghadiahkan kemenangan kepada Switzerland di Vancouver, sekali gus memastikan mereka akan berdepan Colombia atau Ghana pada pusingan 16 terbaik.

Kemenangan itu menamatkan penantian Switzerland yang melalui tujuh perlawanan berturut-turut di peringkat kalah mati Piala Dunia tanpa sebarang kemenangan (seri 1, kalah 6). Kali terakhir mereka menang di peringkat itu adalah pada edisi 1938 apabila menewaskan Jerman 4-2.

Ia juga kali pertama Switzerland memenangi tiga perlawanan dalam satu edisi Piala Dunia, manakala Algeria gagal menyamai pencapaian terbaik mereka di kejohanan itu selepas sekadar mara ke pusingan 16 terbaik, seperti dilakukan pada 2014.

Pada usia 35 tahun 131 hari, Riyad Mahrez menjadi pemain kedua tertua dari Afrika yang diturunkan dalam kesebelasan utama bagi perlawanan kalah mati Piala Dunia, di belakang Idrissa Gueye dari Senegal yang berusia 36 tahun 278 hari ketika menentang Belgium sehari sebelum itu.

Namun, Mahrez gagal membantu pasukannya meraih kemenangan dan selepas mengumpul 119 penampilan serta meledak 40 gol bersama Algeria, beliau mengesahkan perlawanan itu adalah yang terakhir buatnya di pentas antarabangsa.

“Sasaran kami untuk mara dan saya rasa ini perlawanan sepatutnya kami boleh menangi. Namun kami melepaskan dua gol hasil kesilapan sendiri dan pada tahap seperti ini, anda tidak boleh melakukan kesilapan seperti itu.

“Sentiasa ada perkara positif yang boleh diambil. Kami berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan, tetapi kami dibolosi terlalu banyak gol untuk mengimpikan sesuatu yang lebih besar. Ini perlawanan terakhir saya bersama Algeria,” kata Mahrez.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top