Menteri Ekonomi nafi kerajaan Persekutuan tangguh JS-SEZ

Menteri Ekonomi nafi kerajaan Persekutuan tangguh JS-SEZ

SHAH ALAM – Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menafikan dakwaan bahawa kerajaan Persekutuan berulang kali menangguhkan pelancaran Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), sebaliknya ia berjalan dengan baik.

Akmal Nasrullah berkata, kerajaan kini sedang rancak untuk meningkatkan kerjasama Malaysia dengan negara-negara lain untuk masuk ke JS-SEZ.

Menurutnya, dalam masa sama siri pertemuan bersama delegasi dari Perancis, Jerman, negara-negara Nordik, Taiwan, Kanada dan wakil diplomatik dari 35 negara yang berpangkalan di Singapura telah diadakan.

“Tanpa berbahasa basi, sebenarnya pelaksanaan JS-SEZ tidak pernah tertangguh.

“Angka-angka ini mungkin akan bantu kita semua secara lebih mendalam bahawa JS-SEZ sedang diterjemahkan kepada pelaburan dan projek yang sebenar bukan sekadar kekal di peringkat dokumen.

“Tahun 2025, JS-SEZ mencatatkan RM76.98 bilion pelaburan yang diluluskan. Sebanyak 57 peratus daripada jumlah kumulatif pelaburan itu sehingga kini sudah berada di peringkat pelaksanaan.

“Bagi suku pertama, 2026 sahaja, tambahan RM5.49 bilion pelaburan diluluskan. Kemudian, dari Januari hingga Mei 2026, Invest Malaysia Facilitation Centre ( IMFCJ) telah menguruskan 285 pertanyaan minat pelaburan dengan potensi terkumpul dikenalpasti berjumlah RM74.12 bilion,” ujarnya menerusi laman Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, kerajaan Johor menggesa Kerajaan Persekutuan menyegerakan pengumuman Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negeri terus diperkukuh.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelan induk berkenaan telah siap dan tidak wajar terus ditangguhkan kerana ia penting dalam memberi kepastian kepada pelabur serta hala tuju pembangunan ekonomi negeri.

Katanya, pelan itu pada asalnya disasarkan untuk diumumkan pada penghujung tahun 2025 sebelum tarikh baharu ditetapkan pada 30 Mac lalu, namun sekali lagi ditangguhkan.

Tambah Akmal Nasrullah, ini belum lagi soal persediaan untuk menjayakan Johor-Singapore Rapid Transit System( RTS ) yang dijangka akan beroperasi tahun hadapan.

“Alhamdulillah, limpahan manfaat terhadap ekonomi Johor dan Malaysia hasil daripada JS-SEZ ini adalah berkat pelaksanaan oleh semua pihak.

“Jadi ada yang bertanya, kepada siapa yang patut kita bagi kredit? Pada saya, terlalu banyak insan, agensi, organisasi yang sama-sama menjayakan JS-SEZ.

“Yang lebih penting, kita dapat tuai kebaikannya untuk manfaat kebanyakan orang. Bukan sahaja untuk Johor, tapi juga untuk seluruh Malaysia,” ulasnya.

Scroll to Top